Penghantaran pertama vaksin AstraZeneca sudah tiba di Malaysia.
LONDON – Tahap keyakinan terhadap keselamatan vaksin AstraZeneca Covid-19 merosot di Sepanyol, Jerman, Perancis dan Itali susulan laporan pembekuan darah yang dikaitkan dengannya dan banyak negara telah berhenti menggunakannya.
Data undi YouGov mengatakan pada akhir Februari lalu, ramai warga Eropah ragu-ragu mengenai vaksin AstraZeneca daripada Pfizer Inc/BioNTech dan Moderna Inc.
Menurutnya, masalah pembekuan tersebut telah merosakkan persepsi masyarakat terhadap keselamatan suntikan AstraZeneca.
Sejak dua minggu lalu, sekurang-kurangnya 13 negara Eropah telah berhenti memberikan suntikan AstraZeneca, yang dibangunkan bersama dengan saintis di Universiti Oxford, setelah melaporkan beberapa kes gangguan darah.
Banyak negara kemudian meneruskan penggunaannya pada hari Jumaat setelah pengatur Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) menyatakan dalam tinjauan keselamatan awal mendapati vaksin itu selamat dan berkesan serta tidak ada kaitan dengan peningkatan risiko pembekuan darah secara keseluruhan.
EMA tidak menolak kemungkinan ada kaitan, bagaimanapun ada kes pembekuan darah yang jarang terjadi di otak yang dikenali sebagai trombosis sinus vena serebral (CVST).
Tinjauan YouGov – yang merangkumi sekitar 8,000 orang di tujuh negara Eropah antara 12 dan 18 Mac – mendapati penduduk di Perancis, Jerman, Sepanyol dan Itali lebih cenderung melihat vaksin AstraZeneca sebagai tidak selamat.
Sebanyak 55% orang Jerman mengatakan bahawa ia tidak selamat, sementara kurang dari satu pertiga menganggapnya selamat.
Di Perancis, vaksin COVID AstraZeneca sudah tidak popular apabila 61% orang yang ditinjau mengatakan ia tidak selamat.
Manakala di Itali dan Sepanyol, kebanyakan orang sebelum ini merasakan vaksin AstraZeneca selamat – masing-masing pada 54% dan 59% – tetapi kadar tersebut masing-masing jatuh kepada 36% dan 38%, dalam tinjauan terbaru.
Tinjauan menunjukkan hanya di Britain kebimbangan pembekuan darah tidak banyak mempengaruhi kepercayaan masyarakat.
Britain telah menggunakan vaksin ini sejak Januari.
Sebilangan besar orang yang ditinjau di United Kingdom, 77% masih mengatakan suntikan tersebut selamat. Kepercayaan mereka terhadapnya setara dengan penilaian keselamatan 79% yang dirasakan ke atas Pfizer. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast