KUALA LUMPUR – Setakat ini UMNO tidak berganjak dengan keputusan yang dicapai pada Perhimpunan Agung parti (PAU) tahun 2019 dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dua badan pembentuk dasar UMNO itu juga kekal dengan keputusan untuk memelihara dan memperkasa kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) didukung sehingga pembubaran Parlimen.
Namun, menurut Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan, sudah tentu ada individu dalam parti mempunyai pandangan masing-masing yang berbeza dengan berpendirian dari keputusan.
Tetapi, katanya, perbuatan itu tidak boleh terus dilabelkan sebagai pengkhianat atau ejen parti lain.
“Ia tuduhan berat yang tidak wajar dilontar tanpa usul periksa tindakan dan tingkah lakunya, apatah lagi sesama kita dalam keluarga.
“Cuma, apabila keputusan induk parti telah dibuat, tugas kita adalah untuk menjayakan keputusan itu, bukannya merosakkan.
“Sewaktu awal kita mahu bersama Pas pun, tidak semua yang senada, tetapi di kalangan yang tidak setuju, baik dari UMNO mahupun barangkali Pas juga, mampu menelan ego, akur, malah membantu menjayakannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jelas beliau, adalah satu kerugian besar bagi UMNO jika terus menerus berbalah hanya disebabkan pihak ketiga.
Katanya, andai dua aliran sekalipun kerana takrifan ideologi, hala tuju perjuangan, pengisian tawaran dasar negara dan sebagainya, sekurang-kurangnya ia adalah perbezaan yang membina.
“Tetapi, kalau kita berpecah kerana soal pertalian dengan orang luar keluarga, seakan sia-sia.
“Meskipun begitu, perlu ditegaskan, kalau pun ada kelainan pandangan dalam sesebuah isu, tentunya tindakan kita mesti dipandu keputusan parti.
“Dalam hal mutakhir, saya menyebut tempoh hari, selagi tidak berubah keputusan MKT berkenaan tiadanya kerjasama dengan Parti Bersatu selepas pembubaran Parlimen, maka kita berpegang kepada pendekatan itu sebagai ketetapan dasar UMNO,” katanya.
Lantas kata Shahril Sufian, terpulang kepada orang UMNO untuk menjayakan atau menggagalkan strategi tersebut.
“Jika kita meletakkan fokus mengukuhkan daya tarikan UMNO dan Barisan Nasional (BN), memperkasa jentera dan penyokong, moga makin berjayalah keputusan itu.
“Tetapi, jika kita tidak henti menimbulkan spekulasi dan syak wasangka sesama sendiri, mempersoal motif masing-masing, akan gagallah keputusan itu.
Beliau mengajak seluruh ahli UMNO agar mendoakan PAU 2020 akhir minggu ini mampu menjernihkan senario dalam parti supaya benar-benar beralih ke fasa melengkap persiapan menghadapi ujian sebenar dalam PRU. – MalaysiaGazette