KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan surat kepada Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai tanda sokongannya terhadap usaha Ketua Polis Negara (KPN) itu membanteras kartel dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, polis merupakan pasukan yang penting untuk menjaga keamanaan negara dan perlu bebas daripada elemen jenayah.
“PDRM adalah pasukan yang amat penting dalam mana-mana sistem masyarakat dan penanda aras keamanan dan kestabilan negara. Justeru, saya amat bersetuju dengan penegasan yang dibuat beliau terkait integriti, kebebasan, kewibawaan dan keupayaan pasukan polis.
“Saya mendoakan agar beliau dapat melaksanakan amanah dan menempuhi cabaran getir saat ini dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Abdul Hamid mendedahkan wujud kartel dalam anggota PDRM yang ingin menjatuhkannya dan mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan sendiri.
Malah pada sidang media di Bukit Aman pada hari ini, Abdul Hamid berkata, beliau telah mengenalpasti nama pegawai dan anggota yang terlibat. – MalaysiaGazette