KUALA LUMPUR – Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendesak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak hanya membuat siasatan secara dalaman semata-mata mengenai kewujudan kartel cuba menjatuhkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Sebaliknya, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya, Tarmizi Anuar mahu satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja ditubuhkan bagi memastikan dalang yang terlibat dengan kartel itu dikenakan tindakan sewajarnya.
“Kita tak nak siasatan ini dilakukan hanya secara dalaman, kita tak nak nanti pada akhirnya isu-isu ini hanya didiamkan.
“Benda ini tidak boleh jadi satu budaya dan tidak boleh didiamkan yang akhirnya senyap begitu saja.
“Kita nak ada tindakan dan kita nak perkara ini tidak berulang,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Bukit Aman, hari ini.
Terdahulu Tarmizi bersama kira-kira 10 ahli Parti MUDA menghantar memorandum dan sejambak bunga ros merah kepada Bukit Aman menggesa satu siasatan bebas mengenai pendedahan kartel dalam PDRM dilakukan segera.
Memorandum itu diterima oleh Urusetia Ketua Polis Negera (Bahagian Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Asisten Superintenden Engku Nurul Aini Engku Malek.
Khamis lalu Abdul Hamid membuat pendedahan tentang wujudnya dalam kalangan polis muda yang bercita-cita untuk menjatuhkannya dari dalaman.
Menurutnya, gerakan tersebut merupakan golongan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.
Dalam pada itu, Tarmizi juga melahirkan kebimbangan tentang pendedahan Abdul Hamid wujudnya gejala rasuah dalam PDRM dan jenayah membabitkan pasukan keselamatan itu sangat berat dan mencemarkan rakyat.
“Ini menunjukkan adanya tindakan dan proses rasuah yang mendalam sehingga mempengaruhi gerak kerja dan proses pembuatan keputusan dalam PDRM,” katanya.
Pihaknya juga sedia membantu PDRM dan Ketua Polis Negara bagi memastikan kartel dan gerakan menjatuhkan kepimpinan pasukan keselamatan itu dibanteraskan.
“Parti MUDA menyokong penuh usaha KPN dalam membanteras kartel yang telah membarah dalam institusi dan budaya PDRM.
“PDRM merupakan antara institusi yang paling utama dan penting dalam pentadbiran negara.
“Ia berfungsi sebagai institusi dan pasukan keselamatan untuk melindungi negara dan masyarakat Malaysia.
“Justeru, kelangsungan rasuah dan salah guna kuasa dalam PDRM adalah suatu perkara yang mesti dibanteras,” katanya lagi. – MalaysiaGazette