KUALA LUMPUR – Pas akan terus memperkukuhkan perpaduan ummah, membina kekuatan parti dan menawarkan kepimpinan yang berintegriti serta berkebajikan kepada rakyat.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, untuk memastikan hasrat itu tercapai, semua ahli harus memberi sokongan kuat kepada pucuk pimpinan parti dengan sentiasa menjaga keharmonian hidup dalam bermasyarakat.
“Insya-Allah, Pas akan terus memperkukuhkan perpaduan ummah dan menawarkan kepimpinan yang berintegriti dan berkebajikan kepada rakyat,” katanya dalam majlis dialog dengan Badan Perhubungan Pas Johor, semalam.
Beliau bersama kepimpinan pusat turun ke negeri itu untuk mendapatkan maklum balas akar umbi berhubung situasi politik semasa.
Turut bersama, Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam sesi itu juga. Abdul Hadi mendengar laporan dari Pas negeri dan menjelaskan hala tuju serta pendekatan terkini parti.
Terdahulu, beliau dan rombongan mengunjungi Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad di Kota Iskandar.
Kedua mereka berkongsi pandangan mengenai pentingnya menjaga perpaduan umat Islam dan keharmonian masyarakat majmuk dalam negara, di samping langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan tahap ekonomi dan kebajikan rakyat.
Dalam pertemuan itu, Abdul Hadi turut memberikan pandangan untuk dimanfaatkan peranan institusi wakaf dan zakat di Johor, yang sudah berada di tahap amat baik dan boleh dipertingkatkan lagi bagi memberi kesan bersifat jangka Panjang. – MalaysiaGazette