Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menafikan dakwaan seorang penunggang motosikal  dikenakan tindakan saman atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sebaliknya, saman itu dikeluarkan ekoran penunggang itu gagal mempamerkan LKM.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, penunggang terbabit dikenakan tindakan saman di bawah Seksyen 20(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Kilometer 11.9 Jalan Labohan Dagang-Nilai semasa sekatan jalan raya pada Jumaat lepas, pukul 8.45 malam.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati LKM dan insurans motosikal terbabit masih sah.

Tetapi lesen memandu penunggang motosikal iaitu orang kena saman (OKS) tamat tempoh pada 26 Disember tahun lepas dan hanya nasihat sahaja diberikan polis.

“Adalah tidak menjadi kesalahan pegawai polis tersebut mengeluarkan saman bagi kesalahan tidak pamer LKM kerana ia tidak termaktub sepertimana arahan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang memberikan pengecualian untuk pembaharuan LKM dan lesen memandu kompeten (CDL) yang tamat tempoh pada masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) bermula 1 Feb hingga 31 Mac 2021.

“Semasa kejadian tiada sebarang bukti dokumen LKM dan insurans (e-cover note atau e-nota perlindungan insurans) ditunjukkan oleh OKS sepertimana yang dinyatakan oleh pihak Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (Perwatam),” katanya menerusi kenyataan.

Azisman turut berharap penjelasan ini dapat menjernihkan kekeliruan yang timbul dan menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi sendiri tanpa merujuk kepada pihak berwajib.

Semalam, media tempatan melaporkan Perwatam mempertikaikan tindakan polis menyaman seorang lelaki kerana gagal mempamerkan LKM, Jumaat lepas.

Pengerusinya, Hishamuddin Abd Aziz, dalam kenyataan dilaporkan berkata, lelaki terbabit yang juga pelanggan Perwatam, dikatakan menunjukkan bukti e-nota perlindungan insurans dan memaklumkan kepada pihak polis mengenai pengecualian pembaharuan LKM itu.

Bagaimanapun, beliau mendakwa pegawai polis tersebut memaklumkan LKM perlu juga diperbaharui dan dipamerkan sebelum mengeluarkan saman atas kesalahan tidak mempamerkan LKM. – MalaysiaGazette

Kena saman polis akibat gagal pamer LKM mengelirukan