Taktik seorang lelaki menjadikan sebuah premis sebagai stor menyimpan arak dan rokok seludup terbongkar selepas polis menyerbu premis berkenaan di Jelutong  semalam.

GEORGE TOWN – Taktik seorang lelaki menjadikan sebuah premis sebagai stor menyimpan arak dan rokok seludup terbongkar selepas polis menyerbu premis berkenaan di Jelutong  semalam.

Serbuan bermula jam 4 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil serbuan polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun.

“Susulan pemeriksaan di premis berkenaan kita merampas 386 karton berisi 76,912 batang rokok seludup pelbagai jenama serta 576 tin arak yang dianggarkan bernilai RM65,000.

Sebahagian daripada barangan seludup yang dirampas Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan dari mana suspek mendapat bekalan serta ada penglibatan suspek lain dalam pengedaran arak serta rokok seludup ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Soffian, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan sama, beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya aktiviti penyeludupan dapat dibanteras dengan lebih berkesan. -MalaysiaGazette