BANGKOK – Thailand mahu hidangan terkenal Tom Yam Kung disenaraikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai sebahagian daripada warisan budaya tidak ketara negara itu.

Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha hari ini bersetuju untuk hidangan nasional Thailand – Tom Yam Kung – sebagai calon untuk senarai Warisan Budaya UNESCO 2021 tahun ini.

Tom Yam Kung adalah sup pedas, dihasilkan dengan mencampurkan pelbagai bahan segar termasuk serai, daun limau purut, jus limau nipis, cili, sos ikan, dan udang.

Perkataan ‘Tom Yam’ merujuk kepada proses memasak, ‘Tom’ ​​bermaksud merebus dan ‘Yam’ bermaksud bercampur, sementara ‘Kung’ merujuk kepada udang.

Menteri Kebudayaan Itthiphol Kunplome berkata, Tom Yam Kung mencerminkan gaya hidup sederhana masyarakat pertanian yang tinggal di sepanjang sungai dan terusan Thailand yang subur.

“Mencadangkan Tom Yam Kung sebagai warisan global akan menjadi detik yang membanggakan buat rakyat Thailand dan juga meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang asing mengenai kepelbagaian makanan Thailand.

“Penyenaraiannya dalam UNESCO akan mewujudkan peluang perniagaan kepada makanan Thailand, pekerjaan dan pendapatan bagi pengusaha makanan termasuk penternak udang dan petani tumbuhan herba serta pengeksport, pengusaha restoran dalam dan luar negara,” katanya seperti dipetik The Nation.

Tarian Khon dan urutan tradisional Thailand masing-masing telah disenaraikan sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO pada 2018 dan 2019. – Bernama