Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berucap pada Majlis Perasmian Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao 16 di di Wisma Perwira, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap siaga untuk mengawal dan menjamin keselamatan negara dengan memberi fokus dalam setiap bentuk ancaman khususnya ancaman keselamatan siber dari Korea Utara.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ketika ini tahap kesiapsiagaan dipertingkatkan demi memastikan Malaysia selamat.

Katanya, kerja keras itu dilaksanakan untuk memastikan data-data rahsia negara sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terlindung.

“Ancaman keselamatan pada ketika ini bukan sekadar fizikal sahaja, kita turut berdepan ancaman siber.

“Teknologi siber menjadi sebati dalam kelangsungan hidup harian rakyat sekarang khususnya urusan beli barang dan transaksi dalam talian digital dan jika kita musnahkannya seluruh rangkaian hidup kita yang bergantung sepenuhnya kepada dunia siber akan lumpuh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan TIM Pemantau Antarabangsa Mindanau ke-16 yang akan berlepas ke Filipina Jumaat ini untuk meneruskan misi kedamaian di sana.

Affendi berkata, semua data-data rahsia yang disimpan dalam domain pertahanan siber kritikal perlu dilindungi, di samping memastikan sektor ini sentiasa selamat.

”Keadaan buat masa ini terkawal. Saya mengharapakan yang terbaik daripada pasukan yang sentiasa bekerja keras.

Ini termasuklah kemungkinan serangan siber terhadap laman-laman web penting Malaysia memandangkan Korea Utara mahir dalam melakukan penggodaman itu.

Affendi berkata demikian ketika diminta mengulas  peringatan keras Konsulat Kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song sebelum keluar dari negara ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pula menegaskan kawalan keselamatan telah diperketatkan pasukannya di kawasan sentitif di ibu negara susulan ancaman yang dilontarkan oleh Yu Song.- MalaysiaGazette