Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. PIX: MalaysiaGazette Covid-19 new cases Covid-19 deaths Covid-19 clusters education
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,268 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan dua kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu jumlah kumulatif kes Covid-19 meningkat kepada 336,808 kes.

Tambah beliau, sebanyak 1,083 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif adalah 320,925 kes.

Noor Hisham berkata, Selangor kekal mencatat kes baharu tertinggi iaitu 490 kes diikuti Sarawak dengan 141 kes.

“Sehingga 24 Mac, jumlah kes Covid-19: 1,268 kes (336,808 kes) dengan Sabah 45 kes, Johor 135 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 53 kes, Negeri Sembilan 59 kes, Pulau Pinang 99 kes, Perak 42 kes, Kedah 49 kes, Melaka 52 kes, Kelantan 49 kes, Pahang 43 kes, Terengganu 4 kes, Wilayah Persekutuan Labuan satu kes, dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan enam kes,” katanya hari ini.

Perlis masih kekal sifar kes positif Covid-19, katanya.

Menurut Dr. Noor Hisham, daripada jumlah kes positif baharu, sebanyak 1,263 kes melibatkan penularan tempatan dengan 946 warganegara dan 317 kes bukan warganegara.

Tambah beliau, sebanyak 161 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan 73 kes menerima bantuan alat pernafasan.

Noor Hisham berkata, dua kes kematian direkodkan hari ini dengan kedua-dua melibatkan kes warganegara. – MalaysiaGazette