Dua cedera dan tiga terselamat dalam nahas helikopter terhempas di kawasan kargo Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, pagi ini.

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan satu kemalangan membabitkan Helikopter Airbus AS350 B3 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor pada jam 9.25 pagi, hari ini.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam satu kenyataannya berkata, helikopter yang dikendalikan oleh Leopad Aviation Sdn Bhd telah berlepas dariSungai Lembing, Pahang pada jam 8.30 pagi.

“Ia merupakan penerbangan persendirian ke Subang melalui Maran Terengganu, Temerloh dan Karak Pahang serta Batu Caves Selangor dengan seorang juruterbang dan empat penumpang,” katanya MOT dalam satu kenyataan, hari ini.

MOT juga mengesahkan dua mangsa mengalami kecederaan dan sedang menerima bantuan perubatan, sementara tiga lagi mangsa berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah MOT mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” kata kenyataan itu.

Terdahulu sebuah helikopter jenis Airbus H125 dinaiki lima lelaki terhempas di kawasan LTSAAS, Subang pagi tadi ketika membuat pendaratan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis dalam satu kenyataan hari ini turut mengesahkan kejadian itu selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.26 pagi dan tiba di lokasi 20 minit kemudian.

Menurut Norazam, semua mangsa disahkan selamat dan hanya mengalami cedera ringan di bahagian kaki dan kepala selepas penerbangan berlepas dari Terengganu.

“Seorang lelaki patah kaki kanan manakala seorang lagi cedera ringan di kaki. Tiga lagi tidak mengalami kecederaan. Semua mangsa dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya. – MalaysiaGazette