Penghantaran pertama vaksin AstraZeneca sudah tiba di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Tiada bukti kukuh yang mengaitkan vaksin AstraZeneca meningkatkan risiko penggumpalan darah, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Beliau berkata, ia terbukti apabila jumlah kes gumpalan darah yang berlaku jauh lebih rendah berbanding purata kes yang dijangka berlaku dalam saiz populasi, iaitu dalam kalangan 17 juta penerima vaksin di Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK).

Tambah beliau, penjelasan itu dibuat oleh AstraZeneca Sdn.Bhd. ketika mengadakan perjumpaan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 17 Mac lalu.

“Menurut pihak syarikat, setakat 8 Mac 2021, sebanyak 17 juta orang awam telah menerima vaksin Covid-19 AstraZeneca di sekitar Kesatuan Eropah(EU) dan United Kingdom (UK).

“Daripada kalangan penerima vaksin ini, terdapat 15 kes deepvein thrombosis (DVT) dan 22 kes pulmonary embolism telah dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Adham, setakat 4 November 2020 data keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca yang diperoleh daripada kajian klinikal yang melibatkan kira-kira 12,000 sukarelawan menunjukkan tiada kesan sampingan yang teruk dilaporkan.

Sebaliknya, kesan sampingan yang sering dilaporkan adalah sakit pada tempat suntikan, keletihan dan pening kepala serta dilaporkan sebagai mild (ringan) atau moderate (sederhana).

“Kajian klinikal tersebut juga merumuskan bahawa tiada sebarang isu keselamatan berkenaan kesan ke atas profil dan kandungan  arah (termasuk penggumpalan darah) setelah menerima suntikan vaksin ini,” katanya.

Sehubungan itu katanya, vaksin Covid-19 AstraZeneca adalah selamat digunakan.

Kesimpulan ini ujar turut disokong oleh pihak European Medicines Agency(EMA), ujarnya.

Baru-baru ini tahap keyakinan terhadap keselamatan vaksin AstraZeneca dilaporkan merosot di Sepanyol, Jerman, Perancis dan Itali yang dikaitkan dengan pembekuan darah.

Berikutan itu, banyak negara menangguhkan penggunaan vaksin tersebut.

Data undi YouGov mengatakan pada akhir Februari lalu, ramai warga Eropah ragu-ragu mengenai vaksin AstraZeneca daripada Pfizer Inc/BioNTech dan Moderna Inc.-MalaysiaGazette