Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang media berhubung Program Imunisasi Covid-19 di Bangunan Annex, Shah Alam, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MAC 2021.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor tidak berniat untuk menganggu atau menjejaskan rancangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) apabila membuat keputusan untuk membeli vaksin sendiri untuk negeri itu.

Sebaliknya Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia hanya kerana kerajaan negeri ingin mempercepatkan proses pemberian kepada penduduk di negeri berkenaan.

Meskipun akan membeli vaksin Covid-19 secara terus daripada syarikat pengeluar namun beliau memberi jaminan proses pemberian akan melalui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

“Kita tidak mahu merosakkan rancangan PICK atau nak tunjuk siapa dulu nak bagi vaksin apa pun yang kita beli kembali kepada CITF.

“Saya tidak ada masalah apa-apa kerjasama setakat ini pun baik saya percaya Selangor akan beli dengan cepat sebab keprihatinan kerajaan negeri adalah kita bukan hanya ada warga emas tinggi berumur 60 dan 70-an, berpenyakit kritikal dan kronik tetapi kita ada industri yang besar,” katanya dalam sidang media bersama dengan Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Terdahulu Amirudin dan Khairy Jamaluddin menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Selangor di sini hari ini.

Amirudin menambah, Selangor kini dalam peringkat memuktamadkan proses perolehan pembelian vaksin.

Untuk rekod sebelum ini, Amirudin mengumumkan akan membeli lima juta dos vaksin Covid-19 bagi mengawal penularan wabak terbabit.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin mengalu-alukan keputusan Kerajaan Selangor itu malah beliau bersedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan khususnya dalam usaha kerajaan negeri mahu membeli vaksin.

“Kita mengalu-alukan dan apabila kerajaan negeri mengemukakan permohonanan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) untuk pembelian untuk menampung penambahanapa yang kerajaan persekutuan sedia memberi kepada semua. Saya sedia untuk membantu dari segi usaha ini,” katanya.-MalaysiaGazette