Tan Sri Annuar Musa cabinet resigns Federal Territories
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Perbuatan memberi peringatan secara terbuka kepada rakan dalam Muafakat Nasional (MN) sangat tidak manis, tegur  Tan Sri Annuar Musa kepada segelintir pemimpin dalam UMNO.

Beliau menegaskan, MN mempunyai jawatankuasa perunding dan biar badan itu yang membuat keputusan sama ada mahu kekal bersama atau sebaliknya dengan cara rundingan.

“Kita bersusah payah mendekatkan (menyatukan) UMNO dan Pas dengan berhemah dan kebijaksanaan, tiba-tiba kita runtuhkan semangat itu dengan cara gedebe.

“Kita sepatutnya ikat persaudaraan dengan tali Allah,” katanya menerusi ciapan Twitternya semalam.

Gedebe membawa maksud samseng menurut dialek Kelantan.

Annuar mengulas hubungan MN di beberapa negeri dilihat agak renggang berikutan sikap pemimpin UMNO yang terlalu agresif dalam menghargai semangat gabungan antara kedua parti itu.

Baru-baru ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, BN Terengganu sudah bersiap siaga jika ditakdirkan melawan Pas sebagai kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, persiapan itu dibuat berdasarkan keputusan terkini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang telah memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PRU) dalam PRU akan datang.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh bersetuju dengan maklum balas Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad yang mengulas secara bijaksana kenyataan Dr. Asyraf Wajdi serta Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, beliau mengucapkan selamat bersidang kepada pemimpin UMNO Sabtu dan Ahad ini dengan berkata, yang kekal bersama UMNO pasca PRU14 adalah yang setia dengan perjuangan parti.

“Kita mungkin berbeza pendapat atau kaedah, tetapi kita semua mahu UMNO kembali di peringkat tertinggi.

“Manfaatkan PAU kali ini untuk kita secara berjemaah mengemudi parti ini ke arah kegemilangan sekali lagi,” katanya yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Ketereh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast