Bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Anina Saadudin berjalan keluar selepas pendengaran pembelaan bagi kes saman Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 1 Oktober ini sebagai tarikh perbicaraan bagi kes saman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Anina Saadudin.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Anina mendapatkan peguam untuk mengendalikan kes tersebut.

“Saya minta satu hari dulu…arahan saya penyata saksi hendaklah difailkan selewat-lewatnya dua minggu sebelum tarikh bicara.

“Maka penyata saksi pada 17 September, seterusnya isu-isu untuk dibicarakan hendaklah difailkan pada 17 Ogos,” kata Mohd Firuz.

Terdahulu, Anina menyatakan kehadirannya ke mahkamah pagi tadi adalah bagi menyatakan pembelaan serta percaya bahawa mahkamah akan berlaku adil serta tempat untuk beliau bercakap benar.

Katanya, beliau hadir tanpa diwakili peguam memandangkan beliau hanyalah seorang suri rumah selain berasa malu untuk mendapatkan khidmat peguam bagi kes-kes seperti itu.

Jelasnya, beliau telah memadam hantaran berkaitan Menteri Kanan Pertahanan yang dimuat naik di laman sosialnya dalam tempoh 24 jam sebagaimana yang disebutkan tuntutan yang dibuat terhadapnya.

Pada 11 Mac lalu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera memfailkan saman terhadap Anina atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi Facebook miliknya bahawa Menteri Pertahanan itu tidak kompeten dalam menjalankan tugas ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selaku plaintif Ismail Sabri memfailkan saman fitnah itu dalam kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 5 Mac lepas dengan menamakan Anina, selaku defendan tunggal.

Dalam penyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Anina telah menerbitkan 13 kata-kata fitnah terhadap plaintif dan turut memuat naik video di dalam Facebook miliknya, antara lain mendakwa menteri itu tidak kompeten dalam menjalankan tugasnya ketika melaksanakan peraturan-peraturan ketat untuk memerangi penyebaran Covid-19 menerusi PKP.

Menurut plaintif, 13 penyiaran kata-kata fitnah dibuat oleh Anina bermula 5 Feb hingga 3 Mac lepas menerusi Facebooknya yang turut dikongsi oleh pengguna laman sosial itu.

Kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif adalah ‘boneka’ yang semata-mata melaksanakan perintah perdana menteri, tidak cekap dan kompeten dalam kerjayanya. – MalaysiaGazette