KOTA BHARU – Parti Bumiputera Perkasa (Putra) Kelantan kecewa dengan jawapan kerajaan negeri itu berhubung masalah ketiadaan bekalan air untuk kegunaan rakyat dan hospital.
Timbalan Pengerusinya, Asri Ali berkata, setiap kali rakyat merungut, jawapan diberikan Menteri Besar mahupun anggota Exconya sangat standard iaitu akan mengkaji, akan berunding dan akan mengambil perhatian.
Hakikatnya, kata beliau masalah bekalan ini berlaku sejak Pas mengambil alih Kelantan tahun 1990 dan sehingga kini ia berlarutan tanpa penyelesaian menyeluruh.
“Masalah air di Kelantan kali ini bukan sahaja menjejaskan rakyat, malah pihak hospital pun turut membangkitkan perkara sama, yang dikatakan bermasalah sejak 10 tahun lalu.
“Sebenarnya kita sedikit pun tidak terkejut dengan masalah bekalan air ini, kerana ia berlaku sejak 1990-an lagi, tetapi kali ini isu itu dicetuskan oleh pihak hospital yang mendakwa berdepan dengan masalah itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Asri, jika ditanya kepada rakyat Kelantan mengenai masalah itu, mereka sudah lama hilang sabar dengan ketiadaan air yang mencukupi untuk kegunaan harian, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana kerajaan negeri sentiasa berjanji akan menyelesaikannya.
Tegasnya, setiap jawapan diberikan kerajaan negeri semata-mata untuk melepaskan tangan dan tanggungjawab kerana masalah yang diharapkan dapat diselesaikan masih tidak menjadi kenyataan.
“Dahulu pun, dalam kejadian tebing Sungai Kelantan runtuh di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, jawapan standard diberikan kerajaan negeri, iaitu akan arahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) buat kajian serta berikan laporan.
“Memerintah Kelantan selama lebih 30 tahun hanya dengan slogan Membangun Bersama Islam, tetapi realitinya rakyat hidup terseksa dengan masalah air yang tidak pernah selesai,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan Pas Kelantan membina tangki di tempat letak kereta pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini bagi menyelesaikan masalah air untuk kegunaan hospital.
Katanya, dengnan cara itu sahaja masalah bekalan air ke hospital boleh diselesaikan untuk jangka panjang. – MalaysiaGazette