KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyatakan rindunya pada suasana Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum pandemik Covid-19.
Katanya, PAU ketika itu menyaksikan kemeriahan akar umbi dari seluruh negara datang berhimpun dan berkumpul untuk berbincang serta berbahas mengenai hala tuju bangsa.
Malah, ujar beliau, ada masanya mereka mengadu keluh kesah, gundah gulana selain mengundang suasana gamat, gelak tawa para ahli dan perwakilan apabila bertemu.
“Dua hari lagi akan berlangsungnya PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC) pada 27 dan 28 Mac ini tetapi bukan dalam kemeriahan suasana seperti sebelum ini.
“PAU sememangnya medan perhimpunan yang ditunggu-tunggu oleh segenap ahli UMNO. Di sinilah pertemuan orang Melayu terbesar setiap tahun untuk berbincang dan berbahas mengenai hala tuju bangsa.
“Sepanjang PAU juga kita dapat lihat kemeriahan di PWTC, suasana gamat, gelak tawa para ahli dan perwakilan yang bertemu dan di sinilah persaudaraan serta persahabatan terus dijalinkan, baik yang muda mahupun yang lebih senior,” coretnya dalam akaun Facebook.
PAU 2020 akan berlangsung selama dua hari dari Sabtu dan Ahad ini dengan cara bersemuka serta maya berikutan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta darurat.
Dalam perhimpunan itu, hanya ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua tiga sayap parti sahaja hadir secara bersemuka manakala bahagian dan cawangan akan mengikuti secara maya di negeri masing-masing.
Menurut Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, suasana paling meriah sepanjang perhimpunan itu sebelum ini ialah aktiviti jualan oleh pelbagai latar belakang usahawan kecil dan sederhana.
“Saya masih ingat lagi, pasti akan singgah untuk membeli songket atau kain batik hasil tenunan orang kita. Tawar-menawar sampai jadi, orang kata.
“Kini suasana sudah berubah akibat penularan Covid-19. Tiada lagi kemeriahan seperti dahulu. Ada protokol dan SOP tertentu perlu kita patuhi untuk pastikan wabak ini tidak terus menular dalam komuniti kita,” katanya.
Beliau berkata, walau apapun keadaannya, yang penting PAU 2020 akan terus menjadi medan untuk ahli dan pemimpin UMNO mara bersama.
Kata beliau, baik diadakan secara fizikal mahupun maya, UMNO tetap sebuah parti yang mengangkat suara rakyat.
“UMNO tetap sebuah parti kukuh dengan dokongan akar umbi yang tidak pernah lari dari neraca perjuangan. Insya-Allah, UMNO akan terus mara untuk rakyat Malaysia,” kata Menteri Belia dan Sukan itu. – MalaysiaGazette
Engkau orang batlah apa yang terbaik untuk ugama bangsa dan negara! Harap jangan ada pertandingan dengan PAS @Muafakat Nasional, ianya kunci kemenangan!
Jangan juga sesekali membuat sebarang kerjasama dengan pihak2, puak2 atau parti2 yang telah BERSEKONGKOL dalam MENSYIRIKKAN nama Allah SWT!
Selamat bersidang!