Sahabudin.

GEORGE TOWN – Polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM 32.9 juta dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, rampasan itu susulan pihaknya melancarkan operasi berskala besar bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri tersebut.

Katanya, jumlah rampasan tahun ini menunjukkan peningkatan susulan rampasan dadah sepanjang tahun lalu berjumlah RM43.7 juta.

“Berdasarkan statistik dalam tempoh dua bulan itu kita berjaya menahan 1,271 suspek dengan nilai rampasan RM32.9 juta.

“Bagi tahun 2020 pula, kita membuat tangkapan seramai 8,633 suspek serta 6,574 kertas siasatan telah dibuka.

“Secara keseluruhan dalam semua serbuan kita merampas pelbagai jenis dadah antara syabu, heroin, ketamin, eramin 5 dan ekstasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sahabudin  menegaskan sebanyak 2,456 kertas siasatan membabitkan jenayah komersial dibuka tahun lalu membabitkan kerugian berjumlah RM181.6 juta. – MalaysiaGazette