Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – UMNO kini menjadi rebutan rakan blok pembangkang iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menjalinkan kerjasama.

Senario itu membuktikan UMNO berada di landasan betul dan tepat sebagai parti yang berjaya membela nasib rakyat serta mengemudi negara selama lebih 60 tahun.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, ini semua berkat kesabaran, sifat istiqamah dan semangat waja ahlinya dalam perjuangan

“Kalau dahulu ramai mencemuh kononnya UMNO ini parti tidak laku, parti lapuk, sekarang tuduhan mereka semuanya meleset sama sekali.

“UMNO ternyata menjadi rebutan oleh PKR, Amanah dan DAP untuk menjalinkan kerjasama. Malah, ada yang bertanya kerana apa parti pembangkang ini berminat dengan UMNO?

“Tidak dinafikan, kerana UMNO adalah sebuah parti berpengalaman mengemudi negara dan mempunyai organisasi yang kukuh di peringkat cawangan, bahagian, Majlis Tertinggi (MT) sehingga ke Institusi Presiden,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hariri yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas menjelaskan, Institusi Presiden perlu dihormati tidak kira siapa pun memegang jawatan itu kerana ia pilihan dari ahli di cawangan secara demokrasi.

Katanya, jatuh presiden, maka runtuhlah parti UMNO.

“Oleh itu, jangan kita termakan dengan agenda sulit parti lain yang mahu melemahkan kekuatan kita sama ada dari luar dan juga dalaman.

“Setiap presiden mempunyai kebijaksanaan dan kepakaran masing-masing mengemudi parti, apatah lagi mengetuai parti dalam keadaan UMNO bukan parti kerajaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, di era Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden, beliau berjaya memulihkan kestabilan politik dalaman walaupun berdepan dengan fitnah yang memuncak sebelum diserahkan baton pimpinan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ternyata, semangat besar Ahmad Zahid pula ialah tidak mengalah dengan usaha dan desakan pihak tertentu supaya UMNO dibubarkan walaupun mendapat pelbagai tohmahan fitnah dari segenap arah.

“Bayangkan, bagaimana jerih perihnya Presiden mengemudi parti keramat ini tanpa jawatan dalam kerajaan, sementelah dana pula disekat untuk mematikan UMNO.

“Oleh itu, usahlah menuding jari sesama kita. Cermin diri kita dulu, apa yang telah kita lakukan untuk UMNO sama ada menaikkan imej ataupun mengeruhkan lagi keadaan.

“Janganlah mengadu domba demi mencari peluang untuk naik tangga kepimpinan dengan cara cepat. UMNO sentiasa menjadi pejuang masalah rakyat. UMNO menjadi tempat rujukan untuk rakyat dan UMNO sentiasa membela rakyat,” ujarnya.

Untuk itu, kata beliau, UMNO boleh memilih untuk mengadakan kerjasama dengan parti politik yang ikhlas dan parti yang sanggup bersama susah senang dengannya.

Apa yang penting, sebutan keikhlasan itu perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

“Kita jaga parti kita dengan sepenuh hati. UMNO ini wadah bagi orang Melayu Islam untuk kekal bertahan dalam arus kuasa politik negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.