SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas tindakan segelintir pihak tertentu cuba mengelirukan rakyat dengan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari lalu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, darurat yang dilaksanakan ketika ini berbeza dengan tujuh darurat yang pernah diumum dan diisytiharkan kerajaan pada 1948 ketika zaman Bristih sehingga 2020.
Katanya, apa yang membezakan darurat sekarang dengan sebelum ini ialah daripada segi ancaman.
“Proklamasi Darurat 2021 adalah bertujuan untuk mengekang penularan wabak penyakit berjangkit Covid-19 yang dinamakan darurat kesihatan, manakala tujuh darurat sebelum ini ialah darurat keselamatan yang berkaitan dengan isu kedaulatan negara.
“Peruntukan sedia ada tidak mencukupi untuk menangani ancaman Covid-19, maka berlandaskan Perkara 150 Fasa 1 Perlembagaan Persekutuan, Jemaah Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat.
“Maka darurat kesihatan ini adalah untuk memerangi Covid-19, bukan bertujuan lain seperti ditohmah oleh segelintir pihak tertentu,” katanya ketika berucap pada majlis Rapat Malaysia Prihatin di sebuah hotel di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd. Rahman.
Tujuh darurat yang telah diumumkan sebelum ini ialah pertama, Darurat Tanah Melayu tahun 1948 hingga 1960 disebabkan pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM) di zaman British.
Kedua, Konfrontasi Indonesia-Malaysia tahun 1964 yang berlaku kerana penentangan bagi pembentukan Malaysia 1963; ketiga, Krisis Politik Sarawak (1966), yang mana darurat diisytiharkan pada 14 September 1966 berikutan isu Ketua Menteri pertama, Stephen Kalong Ningkan.
Darurat keempat ialah rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang menyaksikan berlaku Peristiwa 13 Mei susulan pilihan raya Malaysia tahun 1969 dan kerajaan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) untuk kembalikan keamanan.
Kelima, darurat Kelantan tahun 1977 yang diisytihar pada 8 November 1977 berikutan krisis politik membabitkan Menteri Besar Kelantan, (Allahyarham) Datuk Muhammad Nasir.
Seterusnya, darurat jerebu tahun 1997, 2005 dan 2013 (jerebu di Sarawak 1997, Klang 2005 serta Muar dan Ledang 2013), dan darurat Covid-19 bagi menghalang pilihan raya kecil diadakan untuk Parlimen Batu Sapi (Sabah), Parlimen Gerik (Perak) dan DUN Bogaya (Sabah).
Menurut Mohamed Azmin, terbaharu ialah 12 Januari lalu diisytiharkan darurat kesihatan selepas berlaku gelombang ketiga pada akhir tahun lalu.
Jelas beliau, punca kuasa pengisytiharan darurat itu juga adalah bersandarkan kepada Perkara 150 Fasa 1 Perlembagaan Persekutuan, bukan sesuka hati Perdana Menteri untuk melaksanakannya.
Katanya, kerajaan melakukannya dengan merujuk Perlembagaan Persekutuan, dan dilaksanakan selepas Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa satu bencana besar sedang berlaku, yang menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam atau mana-mana bahagian terancam.
“Beza darurat kesihatan dengan tujuh darurat sebelumnya juga ialah tempoh. Darurat ini akan berakhir pada 1 Ogos 2021, manakala darurat sebelumnya tidak ada tempoh. Malah, ada yang berlarutan sehingga tiga tahun.
“Sebagai pemimpin dan ahli ekonomi saya mengajak pihak tertentu supaya lebih bertanggungjawab mempertahankan perlembagaan ini.
“Jangan timbulkan kekecohan di khalayak kerana ia akan memberi kesan kepada ekonomi dan masa depan negara,” katanya. – MalaysiaGazette