Hasni Mohammad

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Hasni Mohammad menyifatkan ahli-ahli Parlimen yang lompat parti diumpamakan sebagai katak yang luar biasa.

Dalam ucapan penggulungan ketiga-tiga sayap Perhimpunan Agung UMNO (PAU2020) hari ini, Menteri Besar Johor itu berkata, ‘katak-katak’ itu melompat demi kepentingan politik peribadi masing-masing.

“Mereka yang melompat itulah katak, hayatilah ciri-cira katak, otak dia lebih besar daripada badan dia. Itu salah satu daripada ciri seekor katak, dia boleh melompat 20 kali ganda daripada saiz badan dia. Jadi kalau dia melompat, jauh sungguh.

“Dia lupa tempat asal dia kerana macam kita kita melompat mungkin lima hingga 10 kaki sahaja. Dia boleh melompat 20 kali ganda daripada saiz badan dia,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Kata Hasni, katak sememangnya mempunyai sifat semulajadi yang suka melompat dan ia sama seperti ahli-ahli Parlimen yang melompat parti untuk menyelamatkan diri.

“Dia tidak minum air, dia serap air sahaja, macam kita orang UMNO minum kopi di warung sana sini tapi semujadi katak ini dia tidak minum air.

“Sebab itu yang sebelah sana yang melompat itu dia boleh serap masuk parti itu, parti ini. Memang itulah dia punya orang kata nature dia begitu,” katanya.

Justeru itu, Hasni berkata, segala yang dibangkitkan oleh para perwakilan tiga sayap pada PAU 2020 kali akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam ini.

“Tak usah gundah gulana, kita jaga parti kita dan bersidang baik. Tak ada pun yang bangkitkan hari ini yang kami ketiga rasa tidak bersetuju, atau merasakan pelik. Ia satu perkara yang kami bawa dalam mesyuarat MT malam ini,” nasihat beliau.

UMNO sebelum ini kehilangan 15 kerusi Parlimen apabila Ahli Parlimen Jeli, Tanah Merah, Larut, Mersing, Hulu Terengganu, Masjid Tanah, Beluran, Bagan Serai, Tasek Gelugor, Bukit Gantang, Beuafort, Sabak Bernam, Libaran, Sipitang dan Kudat bertindak meniggalkan parti dan kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setelah Barisan Nasional (BN) kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke 14 pada 2018 lalu. – MalaysiaGazette