Baharudin Mat Taib

KUALA LUMPUR – Polis selesai merakam keterangan daripada seorang guru sebuah tadika di Klang yang didakwa mencampak anak muridnya dalam insiden semalam.

Bagaimanapun wanita itu kemudiannya telah dibebaskan dengan jaminan polis untuk meneruskan proses melengkapkan kertas siasatan bagi tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib tampil hadir ke IPD Shah Alam semalam untuk bekerjasama kepada polis supaya diambil kenyataan.

“Ya..ada semalam(guru tadika dipanggil dan diambil keterangan).

“Selepas selesai ambil keterangan, polis bebaskan dia dengan jaminan polis sementara melengkapkan kertas siasatan dan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya ringkas hari ini.

Beliau juga mengesahkan wanita itu adalah seorang yang berkhidmat sebagai guru tetap di Tadika tersebut dan bukan guru praktikal seperti yang ditularkan dalam media sosial.

BACA: Guru tadika campak anak murid dipanggil rakam keterangan – Baharudin

Semalam Baharudin mengesahkan kejadian guru tadika disyaki guru praktikal itu mencampak anak murid semasa sesi pengajaran dalam bilik darjah dalam kejadian di Jalan Kebun, Klang.

Video berdurasi sembilan saat itu tular dalam media sosial sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat.

Kata Baharudin dalam kenyataan semalam, polis menerima laporan dari ibu mangsa tersebut sebelum guru tadika itu dipanggil untuk hadir beri keterangan.

Katanya kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1)Akta Kanak Kanak 2001.

Tambah beliau, jika disabit dengan kesalahan, guru itu boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.-MalaysiaGazette