KUALA LUMPUR – Pegerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa menyokong penuh kenyataan timbalan presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan agar UMNO menggerakkan usaha pembentukan semula Malaysia.
Ketuanya, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, UMNO perlu menjadi parti utama pada Pilihan Raya Umum akan datang supaya kestabilan politik, pemacuan ekonomi negara dan ikatan perpaduan nasional dapat dipulihkan.
Jelas beliau, masa sudah tiba untuk pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) merangka strategi khusus bagi menarik sokongan rakyat PRU ini.
“Kita harus tampil menawarkan pilihan yang lebih baik untuk pengundi sekiranya mahu kembali menjadi sebuah parti induk.
“Pemuda UMNO khususnya di Bahagian Titiwangsa konsisten bekerja keras untuk menarik sokongan golongan muda, namun kita harus ada tawaran yang menarik buat mereka.
“Kita tidak boleh lagi sekadar menjual sejarah. Bagi golongan muda, tawaran masa depan lebih penting daripada nostalgia untuk kenangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, katanya, UMNO juga harus tampil sebagai parti yang peka dengan keperluan rakyat, apatah lagi ramai terjejas akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette