Wakil pembahas Negeri Perak, Datuk Shaarani Mohamad berucap pada Sesi Perbahasan Ucapan Dasa Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 28 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO perlu menggunakan peluang daripada kecelaruan politik hari ini untuk membuktikan bahawa parti itu dan Barisan Nasional (BN) perlu dikembalikan sebagai teraju pemerintahan.

Wakil Perak, Datuk Shaarani Mohamad berkata, UMNO mempunyai rekod yang menunjukkan kemampuan dalam memimpin kestabilan.

“Bukan kita sombong dan riak seolah-olah hanya kita yang layak menjadi kerajaan, tetapi kita ada track record yang menjadi saksi kepada kemampuan kita mentadbir negara.

“Kita perlu tunjukkan bahawa UMNO ada agenda besar untuk rakyat secara keseluruhan.

“Bukan sekadar untuk menyuburkan perpaduan ummah, tetapi juga meyakinkan orang bukan Melayu bahawa UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu punya agenda yang konkrit untuk Malaysia yang lebih baik. Untuk Malaysia yang stabil dan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu Shaari yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, ahli UMNO perlu menjadikan PAU untuk menggembleng buah fikiran bagi memperkukuhkan parti.

Ujarnya, mereka perlu melapangkan hati untuk ikhlas mengakui kelemahan dan mencari jalan untuk memperbaikinya.

“Kumpulkan segala kekuatan dan tautkan semula hati-hati kita andai ada sengketa dan perseteruan.

“Garaplah semua ini supaya apabila kita pulang ke kawasan nanti, kita bersedia untuk memberi pencerahan kepada perjuangan,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan Wanita, Pemuda dan Puteri supaya sentiasa berada di pangkuan rakyat terutamanya ketika suasana pandemik Covid-19 yang masih menghambat kehidupan rakyat.

Jelasnya, mereka perlu selalu setia untuk menjadi tempat rakyat mengadu nasib serta menjadi pendamping kepada segolongan rakyat yang masih bergelut kerana hilang pekerjaan.

“Bimbinglah rakan-rakan peniaga kecil yang masih terkapai-kapai untuk membina semula perniagaan.

“Jangan diabaikan rintihan anak-anak muda yang turut terkesan. Begitu jugalah dengan anak-anak yang lebih setahun hilang hari persekolahan.

“Jelajahlah serata ceruk dan kampung untuk menawarkan khidmat. Tidak lupa rakan-rakan Orang Asli yang selama ini setia menyokong kita. Hulurkan bantuan sedaya yang mampu,” katanya. – MalaysiaGazette