KUALA LUMPUR – Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif dalam usaha mengawal jangkitan COVID-19 apabila kes baharu harian wabak itu kekal berada di bawah angka 2,000 dengan 1,302 kes selain empat kematian dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh 24 jam itu juga, 1,127 kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah kes pulih kini 326,309, manakala kes aktif pula sebanyak 14,380.
“Daripada jumlah kes baharu hari ini, 1,293 adalah penularan tempatan dan sembilan kes import, selain 169 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 76 individu menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, hari ini.
Sarawak mencatat kes harian tertinggi dengan 426 kes diikuti Selangor (256), Pulau Pinang (212), Johor (176), Kuala Lumpur (58), Sabah (38), Kelantan (34), Pahang (32), Kedah dan Perak masing-masing 23, Negeri Sembilan (sembilan), Labuan (enam), Melaka (lima), Terengganu dan Putrajaya masing-masing dua, manakala tiada kes dilapor di Perlis hari ini.
Dr Noor Hisham memaklumkan kesemua kematian yang dilapor hari ini, membabitkan warganegara berusia lingkungan 63 hingga 77 tahun dengan masing-masing mempunyai latar belakang penyakit kronik.
Selain itu, beliau berkata, terdapat tiga lagi kluster dikesan hari ini masing-masing melibatkan kluster di tempat kerja (Kluster Ladang Sungai Pelek, Selangor), kluster pusat tahanan (Kluster Pagar Bukit Chagar, Johor) dan kluster komuniti iaitu Kluster Patek di Kelantan.