Datuk Shukor Salleh (kiri) menunjukkan keratan akhbar kepada Radzuan (tengah) ketika ditemui di rumahnya di Bagan Jermal, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Bekas pemain bola sepak negara era 70-an, Datuk Shukor Salleh yang dilaporkan dimasukan ke hospital kerana kurang sihat menerima kunjungan ahli Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang (Ex-Penang) hari ini.

Beliau dilaporkan terjatuh dua kali pada Isnin dan Rabu lepas di kediamannya di Bagan Jermal di sini.

Menurut Shukor, kejadian pertama berlaku ketika beliau mahu turun tangga untuk ke kedai di tingkat dua apartmen tersebut.

Bagaimanapun, kejadian yang sama berulang pada Rabu lalu ketika berada di dalam rumahnya, sekali gus menyebabkan beliau gagal bergerak tanpa bantuan isteri atau anaknya.

“Alhamdulillah saya ok selepas jatuh tangga tempoh hari namun apabila menghidap minor Parkinson sekali gus menyebabkan saya tidak boleh bergerak tanpa bantuan orang lain.

“Saya kini mengharapkan bantuan isteri dan anak untuk bergerak malah, saya juga terpaksa menggunakan kerusi roda untuk ke bilik air dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Presiden dan ahli Ex-Penang di kediamannya hari ini.

Sementara itu, Presiden Ex-Penang, Radzuan Putah berkata, mereka menziarah bekas pemain kebangsaan itu apabila menerima perkhabaran beliau dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

“Kita datang sebab banyak jasa beliau dalam arena bola sepak negara dan negeri Pulau Pinang khususnya. Selain itu, rata-rata yang hadir ini merupakan pemain di bawah bimbangan beliau.

“Selain itu, kami juga memberikan sedikit sumbangan agar dapat membantu meringgankan kos perubatan beliau,” ujar Radzuan.

Tambah Radzuan, selain Shukor pihaknya turut menziarah Datuk M. Kuppan yang dilaporkan tidak boleh berjalan susulan patah tulang kaki akibat terjatuh.

Shukor pernah digelar ‘Mr Cool’ dan ‘Ardiles Malaysia’ kerana kebijaksanaannya mengemudi jentera tengah dan memakai lilitan selaku kapten skuad Harimau Malaya, pada tahun 1970-an.

Antara pencapaian terbaik Shukor ialah membantu skuad Pulau Pinang muncul juara Piala Malaysia pada 1974 dan juara Liga Malaysia pada 1982.

Shukor yang mengumpul 215 kaps juga membantu skuad Harimau Malaya menang pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk Piala Agha Khan di Bangladesh, Pestabola Merdeka, meraih pingat gangsa di Sukan Asia di Tehran (1974), juara di Sukan SEA pada 1977 dan 1979.

Beliau juga antara watak penting yang membantu skuad Harimau Malaya layak Sukan Olimpik Moscow 1980 sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk memboikot temasya berkenaan kerana serangan Soviet Union terhadap Afghanistan. -MalaysiaGazette