Ahmad Zahid pernah diminta bercuti dari jawatan presiden yang dimenanginya.

KUALA LUMPUR – UMNO bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Langkah itu adalah bagi membentuk penjajaran baharu atau reset politik dan kerajaan perpaduan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, menurut beliau, reset politik hanya akan dilakukan selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi parti yang stabil, kukuh dan dominan dengan memenangi kerusi paling banyak dalam PRU-15 nanti.

“Tindakan reset politik atau penjajaran baharu politik itu ada kaitan dengan kestabilan dan keharmonian rakyat.

“Jika dahulu, negara tidak stabil kerana menghadapi rusuhan kaum. Pada kali ini, meskipun tidak ada pergaduhan kaum, ketidakstabilan politik menyebabkan negara terjebak ke kancah kejatuhan ekonomi. Apa yang telah kita bina selama ini hancur lebur.

“Adakah sesuatu yang mustahil untuk UMNO dan rakan-rakan kongsi politiknya membina political reset yang akan mewarnai landskap politik baharu di negara ini?

“Biarpun tanpa perundingan dengan mana-mana pihak setakat ini, saya dapat merasai impian rakyat yang amat mengharapkan kewujudan sebuah unity government demi kestabilan politik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, biarpun UMNO sangat terbuka untuk melakukannya selepas PRU-15, parti itu wajib terus relevan dan mendominasi politik tanah air.

“Justeru, UMNO perlu dominan, baharulah kita relevan dan untuk itu, kepimpinan UMNO di semua peringkat dan seluruh akar umbi harus berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menghadapi reset politik ini.

“UMNO harus kembali kepada fitrah asalnya. UMNO memimpin bukan untuk dipimpin. UMNO memerintah bukan untuk diperintah. UMNO harus berdiri megah memperkasakan Barisan Nasional,” ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad Zahid berkata, reset politik bukan satu perkara baharu, sebaliknya pernah berlaku beberapa kali dalam sejarah Malaysia.

“Mari kita mengimbau sejarah penubuhan Barisan Nasional pada tahun 1974, selepas berlakunya tragedi kemusnahan perpaduan kaum yang menjadi detik hitam pada tahun 1969 di negara kita. Ia mengakibatkan kestabilan dan keharmonian yang dibina sejak merdeka berkecai di tengah jalan.

“Sesungguhnya penubuhan Barisan Nasional itu adalah reset politik yang pertama. Malah situasi yang menuntut reset politik sebegini pernah dialami dalam menangani krisis politik di Sabah dengan penubuhan UMNO Sabah menggantikan USNO pada tahun 1991.

“Perlu kita hayati landskap politik negara ini yang sangat dinamik. Selepas PRU-14, kita lihat perubahan kerajaan negeri di Johor, Melaka, Perak dan Sabah adalah bukti nyata.

“UMNO kembali menerajui kerajaan di tiga buah negeri berkenaan dan menjadi pimpinan kedua di negeri di bawah bayu. Inilah reset politik yang telah berlaku dan sedang kita alami,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Baguslah, hari ini orang melayu undi UMNO esok UMNO bersengkongkol dengan DAP dan PH. Nak buat macam mana serupa macam sekarang juga, hari ini undi BERSATU esok pula BERSATU keluar dari PH. Yang kecewa pengundi juga.

  2. Zahid ni jap begitu jap begini.. ingatlah rakyat sedang mmerhati.. ahli Umno hanya 3.5 juta.. kita hanya mahukan perpaduan org melayu

Comments are closed.