Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Semua pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu meletak jawatan selewat-lewatnya pada Ogos ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti perlu serius dengan tindakan dan bukannya masa untuk bermain tarik tali.

Kata beliau, jika parti itu menetapkan satu tarikh pada Ogos ini, pemimpin UMNO perlu keluar beramai-ramai dari PN.

“Jika kita sudah bersetuju tarik diri bulan Ogos, jangan kita main silat pulut tidak sudah-sudah. Tahu tak silat pulut macam mana? Pengantin di depan, dia yang bersilat pusing dan letih sendiri. Yang sedap pengantin.

“UMNO ini gajah dan kita besar kerana parti terbesar. Apa guna jadi gajah, masuk hutan satu ranting pun tidak patah. Gajah apa benda.

“Gajah kalau masuk hutan, pokok tumbang dan dia langgar semua. Nak langgar bulan lapan ini jangan acah-acah. Tidak ada sudahnya. Sekarang ini bagaimana kita nak kuat parti kita ini?

“Sekali kita melangkah jangan undur, sudah langarkah kita jangan  dibaca orang. Sekarang kita sudah beritahu, jaga baik-baik. Kalau bulan tak ada apa-apa, bulan lapan ramai-ramai keluar kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikaaan ucapan penggulungan perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di sini hari ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2021.

Mohamad turut memberi gambaran agar UMNO tidak lagi bersilat sana sini dan akhirnya kepenatan seorang diri.

Jelas beliau, UMNO perlu menggunakan strategi seperti silat gayung yang tidak perlu melangkah berdepan lawan berbanding silat lincah.

“Ini bersilat sana sini, letih sorang-sorang. Kita hendak silat gayung, bukannya silat lincah. Sekali kita tenyeh hidung, dia tumbang. Ini asyik longlai, mana hendak pergi. Kita hendak bawa UMNO ke mana? Putrajaya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast