Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – UMNO Sabah tetap akan meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mempertahankan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Datuk Seri Bung Moktar Radin apabila memberitahu, perkara itu akan dilakukan biarpun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pasrti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.

Bung Moktaryang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, senario di Semenanjung berbeza dengan di Sabah kerana rakyat sebelum ini telah memberi mandat kepada GRS untuk membentuk kerajaan baharu di negeri berkenaan.

“Di Sabah, UMNO bersolidariti dengan GRS kerana ini penting bagi memastikan mandat rakyat pada PRN16 (Pilihan Raya Negeri Ke-16) kita terjaga.

“Mereka (rakyat) memberi mandat kepada GRS untuk membangunkan Sabah yang ketika ini begitu jauh sekali ketinggalan tambahan lagi dengan ancaman Covid-19 dengan banyak syarikat, usahawan serta hotel pelancongan gulung tikar.

“Insya-Allah kita akan pastikan ia (perpecahan dengan PPBM) tidak akan berlaku di Sabah kerana kita mahu fokus ke arah membangun rakyat dan ekonomi negeri,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan yakin strategi baharu diumumkan Zahid itu bakal memperkasakan lagi UMNO sekali gus kembali menjadi parti dominan dalam memenangi PRU-15.

“Saya mewakili UMNO Sabah sedar bahawa parti ini dalam keadaan yang tidak begitu stabil ekoran daripada kekalahan lalu yang telah membawa sedikit perubahan kepada UMNO.

“Sebab itu pemimpin UMNO di semua peringkat termasuk ahli UMNO peringkat akar umbi perlu memperkasakan parti, menggunakan strategi baharu untuk memenangi hati rakyat.

“Dengan adanya strategi baharu ini, saya lihat UMNO akan kembali melebarkan penguasaannya sekali gus menjadi parti dominan untuk memenangi PRU akan datang,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya sempena PAU berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) memutuskan akan menghadapi PRU15 secara bersendirian dan menegaskan tiada sebarang perbincangan dengan mana-mana parti PKR, DAP serta Bersatu sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast