Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Chester Voo memberi taklimat mengenai keselamat untuk operator helikopter di CAAM, Precint 4, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 29 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) akan memulakan siasatan insiden ketiga nahas helikopter swastadi Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) selepas laporan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BKSU) diterima.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Chester Voo berkata, pihaknya sedang menunggu laporan awal daripada BSKU untuk dilengkapkan sementara tidak mahu mengambil keputusan atau tindakan terburu-buru dalam perkara itu.

Katanya, laporan awal hanya akan dikeluarkan oleh BKSU selepas 30 hari selepas insiden berkenaan iaitu penghujung April ini nanti.

“Selepas laporan BSKU diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT), CAAM juga akan diberikan salinan laporan awal itu.

“Sejurus selepas laporan awal itu diperolehi nanti, CAAM akan mengambil tindakan pantas daripada segi aspek penambahbaikan pengurusan keselamatan helikopter persendirian.

“Kita tidak mahu terburu-buru membuat kesimpulan sehingga laporan awal dari BSKU selesai dan diterima bagi mengetahui punca kemalangan disusuli tindakan susulan yang dicadangkan,” katanya dalam sidang media selepas Taklimat Kesedaran Keselamatan Operator Helikopter Persendirian Malaysia di ibu pejabat CAAM hari ini.

Ditanya mengenai perkembangan siasatan insiden itu, Chester berkata, ia merupakan insiden ketiga dalam tempoh enam bulan.

Sesi taklimat hari ini adalah yang pertama untuk tahun 2021 dan telah dipercepatkan dari jadual asal yang ditetapkan berikutan insiden yang sama.

Dua insiden awal telah membabitkan sebuah syarikat helikopter lain dan CAAM berdasarkan laporan siasatan awal telah menggantung lesen latihan dan juruterbang syarikat helikopter yang terlibat dua insiden awal.

Ia boleh dilanjutkan sekiranya syarikat itu gagal membaiki helikopter atau juruterbang belum bersedia memulakan operasinya.

Berdasarkan pengalaman dalam sektor penerbangan awam, Chester menegaskan, dalam insiden nahas terbaharu di lapangan terbang SAAS Subang minggu lalu, tiada sebarang unsur sabotaj dikesan pihaknya.

Tambah beliau, ada pelbagai sebab yang mungkin mempengaruhi insiden itu terutama faktor penyelenggaraan, keadaan cuaca boleh menjadi sebab.

Mengulas lanjut, juruterbang dan penumpang yang terlibat nahas terbaharu sedang menjalani rawatan di hospital, katanya lagi.

“Kita akan menunggu mereka kembali pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital dan akan disoal siasat sebelum ‘inspection akan dijalankan dalam semua aspek.

“Kita tidak boleh terburu dalam hal membuat keputusan dan siasatan tidak boleh bersandarkan kepada video insiden nahas itu sahaja sebaliknya keadaan helikopter itu serta rekod penerbangan dan penyelenggaraan juga perlu disiasat.

“Jadi oleh kerana kejadian sudah berlaku lesen juruterbang dan rekod penyelenggaraan helikopter berkenaan masih sah mengikut piawaian yang ditetapkan bermaksud dia tak bersalah dari segi kawal selia helikopter itu.

“Sebab itu kita sedang meneliti puncanya kejadian ini, jika kesalahan itu dibuktikan telah disengajakan kita akan siasat sistem pengurusan memastikan penambahbaikan dijalankan mengikut kawal selia yang ditetapkan,” tegasnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Helikopter terhempas, semua penumpang selamat