logo polis
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Polis Petaling jaya sedang mengesan sekumpulan individu yang disyaki terlibat dalam penganjuran dan penyertaan pertunjukan fesyen di daerah tersebut.

Kejadian dilaporkan berlaku di Glamhall, Damansara Perdana pada 24 Mac lalu.

Polis meminta kerjasama mereka yang terlibat untuk tampil membantu siasatan kerana penganjuran pertunjukan fesyen itu mengingkar undang-undang apabila tiada penjarakan fizikal dan kecuaian pemakaian pelitup muka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian itu dikesan berikutan ia tular di media sosial.

“Semakan ke atas video tular itu jelas membuktikan semua tetamu yang hadir di majlis pertunjukkan itu telah melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini.

“Penganjur juga telah memuat naik pelbagai bentuk gambar sepanjang berlangsungnya majlis pertunjukan fesyen itu.

“Dianggarkan lebih kurang 50 orang tetamu hadir tidak memakai pelitup muka selain tiada penjarakan fizikal dalam majlis itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, polis Petaling Jaya telah mempergiatkan usaha mengesan penganjur pertunjukan fesyen dan para tetamu yang hadir.

“Polis akan membuat semakan daftar kehadiran aplikasi MySejahtera dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 22 (a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. – MalaysiaGazette