Mohamed Apandi Ali
Mohamed Apandi Ali

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali memohon mendapatkan dokumen atau surat antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia berhubung penamatan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara untuk membuktikan tuntutan samannya terhadap mereka.

Mohamed Apandi yang diwakili peguam, Datuk Abd Shukor Ahmad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dokumen berhubung penamatan itu juga tidak diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi.

“Dokumen berkenaan adalah berkaitan dengan kes ini. Ia (dokumen tersebut) dalam pegangan defendan (Dr Mahathir dan kerajaan) dan ia tidak diklasifikasikan di bawah rahsia rasmi,” kata beliau dalam hujahan pendengaran permohonan Mohamed Apandi untuk mendapatkan dokumen itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar melalui aplikasi Zoom.

Dalam permohonan yang difailkan pada 11 Disember 2020, Mohamed Apandi selaku plaintif, antara lain memohon satu perintah dikeluarkan oleh mahkamah agar beliau bebas untuk memeriksa dan dibekalkan dengan salinan dokumen atau surat berhubung penamatan perkhidmatannya.

Katanya, dokumen itu berada dalam milikan, jagaan atau kuasa kedua-dua defendan dan ia perlu diberikan untuk plaintif membuktikan tuntutan samannya. – Bernama