Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan bercakap kepada media selepas Forum Demokrasi Malaysia di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 30 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Forum Malaysia Demokrasi yang berlangsung di ibu negara hari ini menjadi medan perbincangan politik matang antara Pemuda UMNO dengan Parti Amanah Negara (PAN).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan  mengambil peluang menggunakan pentas forum untuk memperjelas mengenai mengapa parti yang diwakilinya tidak hadir di Sarawak.

Beliau menelah pandangan Pengarah Strategik PAN, Khalid Abdul Samad yang mendakwa, UMNO hanya mementingkan bangsa dan disebabkan itu parti tersebut tiada di Sarawak.

“Saya ambil maklum pendapat Khalid bahawa Sarawak lebih baik. sebab itu UMNO tiada di Sarawak, saya fahamlah.

“Tapi ada sebab kenapa UMNO tak pernah ke Sarawak walaupun semasa bekas sekutu Khalid pernah memerintah (Tun Dr Mahathir Mohamad) pernah cadangkan,” katanya.

Menurut Shahril, politik Kemelayuan adalah kurang relevan di negeri bumi kenyalang itu, namun UMNO mengatasinya dengan bekerjasama melalui parti-parti tempatan sedia ada.

Bagaimanapun, jawapan yang disampaikan Shahril itu disanggah Khalid apabila mengatakan fakta yang diberikan olehnya tidak tepat.

Menurut Khalid, UMNO bukan untuk orang Melayu sahaja, sebaliknya parti terbesar itu adalah untuk Bumiputera.

“Sebab itu UMNO ada di Sabah. UMNO tak dapat masuk Sarawak bukanlah sebab faktor parti UMNO bersifat parti Kemelayuan, tetapi disebabkan dihalang oleh ketua menteri terdahulu.

“Amanah berbangga apabila tiada seorang pun Ahli Parlimennya lompat parti setakat ini. Kesemua 11 wakil rakyat masih setia dengan parti,” kata beliau.

Sementara itu pada sesi soal jawab dengan peserta forum yang bertanyakan berkenaan undi 18, Shahril bersetuju dengan pandangan Khalid yang mewajarkan golonhgan muda mengundi itu disegerakan.

Tambah beliau, satu undang-undang berkaitan lompat parti perlu dilaksanakan, namun,pelaksanaannya terlalu teknikal untuk dijelaskan pada forum berkenaan.

“Seperti yang saya maklum dalam ucapan saya, ya saya setuju satu undang-undang khas digubal untuk perbuatan lompat parti,” katanya. – MalaysiaGazette