KUALA LUMPUR – Prestasi perdagangan Malaysia akan meneruskan momentumnya dalam bulan ini dengan import dijangka terus meningkat seiring dengan permintaan domestik berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berakhir awal bulan ini.

Moody’s Analytics berkata, prestasi perdagangan yang baik pada bulan lalu menunjukkan pemulihan yang lebih optimis pada masa hadapan.

Menurutnya, eksport ke kebanyakan pasaran utama meningkat, terutama di ASEAN dan China.

Perdagangan dengan Amerik Syarikat (AS) dan ASEAN, mewakili 26% dari jumlah dagangan Malaysia, meningkat 13.2% tahun ke tahun pada bulan Februari.

”Pertumbuhan dua digit ini pastinya bukan disebabkan oleh kesan asas yang rendah dari tahun lalu,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Moody’s Analytic mengulas mengenai prestasi dagangan Malaysia bagi bulan Februari 2021 yang diterbitkan semalam, menyaksikan eksport meningkat 17.6% kepada RM87.57 bilion dan import meningkat 12.7% kepada RM69.7 bilion.

Prestasi ini menyaksikan lebihan dagangan melonjak 41.6% kepada RM17.86 bilion pada Februari 2021.

Menurut firma itu, dagangan dengan China melonjak hampir 50% tahun ke tahun, mewakili 18.3 % daripada jumlah dagangan Malaysia.

Moody’s Analytic berkata, pengembangan eksport dan import yang kukuh adalah petanda baik ahawa pemulihan ekonomi Malaysia semakin pesat.

“Sejak awal tahun ini, eksport Malaysia mencatat pertumbuhan dua digit 11.7% kepada RM177.19 bilion berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2020, dipacu permintaan yang lebih tinggi untuk semikonduktor dalam peranti pintar dan industri automotif memandangkan aktiviti ekonomi global terus pulih,” katanya. – MalaysiaGazette