Pengurus acara pernikahan selebriti popular, Neelofa berjalan keluar selepas selesai memberi keterangan berhubung siasatan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada majlis pernikahan tersebut di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pengurus acara majlis pernikahan kontroversi Neelofa dan pembantu peribadinya enggan memberi sebarang komen selepas mereka selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Pengasas dan pemilik syarikat Reka Teemor, Faiz Sabari dan Rozana Mumtaz yang juga merupakan pasangan suami isteri itu hadir kira-kira pukul 11.40 pagi tadi dan keluar selepas hampir dua jam dirakam keterangan.

Kedua-dua mereka mengelak daripada menjawab soalan wartawan yang menunggu di pekarangan IPD sebelum terus berlalu pergi.

Mereka dipercayai memberi keterangan ekoran majlis perkahwinan Neelofa yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) baru-baru ini.

Selain itu, pembantu peribadi kepada Neelofa, Nadiah Khairuddin juga hadir bagi membantu siasatan berhubung dakwaan yang sama dalam majlis yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Difahamkan yang turut hadir bersama Nadiah merupakan peguam kepada selebriti berkenaan dan kedua mereka selesai memberi keterangan pada pukul 2.05 petang.

Bagaimanapun tidak kelihatan kelibat ahli keluarga Neelofa.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan selebriti terkenal, Neelofa dan ahli keluarganya mungkin dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan berhubung dakwaan melanggar pematuhan SOP pada majlis pernikahannya Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya telah meminta pengurus hotel, selaku penganjur majlis pernikahan itu, tampil ke balai untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, polis dilaporkan membuka kertas siasatan dan akan memanggil penganjur majlis pernikahan Neelofa dengan pelakon yang juga pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz. – Malaysia Gazette