The High Court dismissed the request of Simpang Jeram Assemblyman and Pulai MP Salahuddin Ayub (Amanah), Gurun Assemblyman and Sungai Petani MP Johari Abdul (PKR) and Tebing Tinggi Assemblyman Abdul Aziz Bari (DAP), who challenged the proclamation of emergency through a judicial review.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar hiasan
Berikut adalah penjelasan oleh seorang peguam berhubung isu kalimah Allah susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut Kristian Malaysia menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada Tuhan dalam penerbitan bahan pendidikan agama itu, baru-baru.
1. Soalan: DYMM Sultan Johor dan Sultan Selangor telah dengan tegas menyatakan pendirian Baginda bahawa kalimah Allah eksklusif untuk orang Islam. Apakah isyarat dari titah tuanku Sultan tersebut?
Jawapan: Isyarat dari Tuanku berdua sangat jelas. Di Malaysia, kalimah Allah berada dalam sempadan agama Islam yang mana Tuanku Sultan adalah Ketua Agama Islam Negeri masing-masing. Tuanku-tuanku dengan tidak berlapik lagi mahu apa yang menjadi hak eksklusif umat Islam kekal menjadi milik agama Islam dan tidak terlepas begitu sahaja. Apatah lagi pada hari ini bahan yang diterbitkan diluar negeri Selangor dan Johor pun boleh dalam sekelip mata berada di skrin telefon dan komputer anak-anak kita.
2. Apakah kegelisahan yang berlaku akibat penggunaan Kalimah Allah dalam penerbitan agama lain di negara kita ini suatu yang baharu?
Sebenarnya kegelisahan di dalam masyarakat bermula sejak akhir tahun 1970an dan awal 1980an apabila terdapat banyak penerbitan agama Kristian termasuklah Bible dalam Bahasa Indonesia yang dinamakan Al Kitab dibawa masuk ke Malaysia dari Indonesia.
Oleh kerana ianya telah melibatkan isu keselamatan maka Kementerian Keselamatan Dalam Negeri melalui Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri telah mewartakan larangan terhadap Al Kitab di Malaysia melalui Warta Kerajaan P.U (A) 15/82 tahun 1981 tetapi di atas rayuan badan-badan agama Kristian, Kerajaan telah kemudiannya memberikan pengecualian khas pada tahun 1982.
3. Adakah pengecualian khas itu bersifat mutlak?
Tentunya terdapat kalimah-kalimah yang terus menjadi larangan untuk orang bukan Islam dan oleh kerana ianya berada juga di bawah bidang kuasa negeri terdapat perbezaan kalimah yang  ditegah kepada orang bukan Islam dalam perundangan negeri-negeri.
Kementerian Dalam Negeri berdasarkan kuasa di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 telah pada 19hb Mei 1986 senada dengan polisi kabinet memutuskan bahawa 12 kalimah yang sinonim dengan agama Islam seperti Firman, Nabi dan Ibadah adalah dibenarkan dengan bersyarat manakala empat kalimah iaitu Allah, Baitullah. Solat dan Kaabah adalah eksklusif untuk umat Islam sahaja sekali.
4. Selain kawalan dari Kerajaan Persekutuan apakah negeri-negeri mempunyai perundangan khusus bagi mengurus penggunaan kalimah Allah ini ?
Berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan hampir semua negeri-negeri di Semenanjung telah mewujudkan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang antara lain melarang penggunaan kalimah yang eksklusif milik orang Islam dari digunakan oleh agama lain.
Oleh kerana Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang juga kini di dalam proses penyediaan perundangan tersebut maka kelihatannya hampir semua badan legislatif negeri menetapkan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam ritual agama bukan Islam adalah suatu bentuk mengindoktrinasikan agama bukan Islam kepada umat Islam yang mana ianya tidak lah dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
5. Boleh ringkaskan berkenaan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10hb Mac 2021?
Rentetan tidak berpuas hati terhadap rampasan lapan cakera padat yang mengandungi bahan agama Kristian yang menggunakan tajuk dan kandungan yang berkaitan kalimah Allah, individu tersebut telah membuat semakan kehakiman yang mana penyampaian penghakiman oleh mahkamah telah ditangguhkan sebanyak 14 kali dalam tempoh 13 tahun 2 bulan bagi membolehkan penyelesaian melalui perbincangan antara pihak-pihak dibuat tetapi akhirnya telah memutuskan bahawa adalah menjadi hak yang dijamin perlembagaan untuk individu tersebut membawa masuk cakera padat tersebut dari Indonesia untuk kegunaan peribadinya.
Apa yang lebih penting adalah mahkamah telah seterusnya membuat deklarasi bahawa Pekeliling 1986 tersebut sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan menjadikan empat kalimah yang dinyatakan di dalam Pekeliling 1986 itu terbuka untuk digunakan oleh orang Kristian.
6. Adakah terdapat keputusan mahkamah terdahulu berkaitan dengan Kalimah Allah.
Ada, dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v Menteri Dalam Negeri & Ors (“Kes Herald”), di mana satu penerbitan Kristian iaitu majalah dalam Bahasa Melayu “The Herald” telah menggunakan kalimah Allah dalam terbitan tersebut.
Mahkamah Rayuan Putrajaya pada tahun 2013 telah menolak permohonan pihak Gereja Roman Katholik untuk menggunakan Kalimah Allah dan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014 telah menolak permohonan untuk merayu di mahkamah tertinggi negara tersebut dan seterusnya membuat keputusan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah eksklusif bagi orang Islam dan penganut agama Kristian adalah dilarang untuk menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mereka.
Adalah jelas bahawa mahkamah tertinggi negara telah pada ketika itu menyatakan bahawa nama Allah sebagai tuhan bukanlah asas utama dalam ajaran agama Kristian dan Pekeliling 1986 adalah intra vires dengan kuasa Kementerian Dalam Negeri dan ianya adalah berperlembagaan.
7. Apakah implikasi terhadap keputusan terkini Mahkamah Tinggi tersebut?
Keputusan Mahkamah Tinggi terbaharu ini menyebabkan orang Islam di Malaysia hilang hak eksklusif dalam penggunaan kalimah Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat.
Namun kita perlu ingat terdapat perundangan di negeri-negeri yang masih sah dan berkuatkuasa yang boleh dirujuk untuk menyekat penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam iaitu melalui Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.
Bagaimanapun, dalam isu kalimah Allah ini, Pekeliling 1986 dilihat lebih mudah untuk dikuatkuasakan kerana ianya adalah berkait rapat dengan apa jua bahan penerbitan diseluruh negara tanpa batas sempadan negeri dan boleh dikuatkuasakan dengan pantas melalui kuasa-kuasa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri sendiri seperti polis dan imigresen serta entiti kerajaan persekutuan lain seperti Kastam dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
8. Apakah pula Penyelesaian 10 Perkara (10 Point Solution) yang disebut dalan penghakiman tersebut?
Penyelesaian 10 Perkara yang dicadangkan kabinet pada tahun 2011 adalah suatu cadangan penyelesaian bagi menguruskan kemasukan Al Kitab ke negara kita bagi manfaat pengganut agama Kristian yang mirip suatu manifesto kerajaan ketika itu memandangkan ianya dibuat tatkala menjelangnya Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 dan ketika itu terdapatnya banyak Al Kitab yang ditahan di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang.
Ia bukanlah dokumen perundangan yang mengikat. Ini dibuktikan
dalam Kes Herald pada tahun 2013 bila mana Kerajaan Malaysia
sendiri menentang kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dan memilih untuk membuat rayuan terhadap
kebenaran penggunaan Kalimah Allah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2009 dengan beberapa Majlis Agama Islam Negeri.
9.  Adakah saudara setuju dengan dapatan mahkamah tersebut yang membatalkan Pekeliling 1986 atas justifikasi ianya
bertentangan dengan polisi kabinet?
Dengan hormat kepada hakim yang arif, isunya bukan saya bersetuju atau tidak. Ia lebih kepada meneliti fakta dari sisi pandang yang berbeza. Pekeliling 1986 perlu dibaca dan dilihat dengan semua peristiwa dan dokumen yang wujud sebelumnya bagi mendapatkan penjelasan yang tepat khususnya apabila banyak terbitan Indonesia mula dibawa masuk ke Malaysia pada akhir 1970an.
Sebab itulah pada awalnya wujud larangan mutlak terhadap
Al Kitab pada tahun 1981. Jangan lupa fakta bahawa tahun-tahun
itulah giatnya proses Islamisasi dijalankan oleh pentadbiran
Kerajaan waktu itu.
Kerajaan atas budi bicaranya telah membenarkan 12 perkataan
digunakan dengan bersyarat manakala empat kalimah tidak
dibenarkan kepada orang bukan Islam.
Saya cenderung berpandangan bahawa Pekeliling 1986 adalah konsisten dengan surat-surat atau polisi Kabinet ketika itu.
Oleh kerana Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada tahun 1986 adalah individu yang sama tidaklah mungkin Pekeliling 1986 oleh Kementerian Dalam Negeri itu bercanggah dengan apa-apa polisi kabinet ketika
itu.
10. Ada ilmuan agama Islam kita yang membenarkan penggunaan Kalimah Allah untuk bukan agama Islam?
Saya fikir tokoh agama yang membenarkan itu hanya membenarkan untuk orang Kristian menyebut kalimah Allah ketika dalam upacara seperti nyanyian Lagu Negeri atau lambang pasukan polis di mana wujudnya kalimah Allah.
Itu kita tidak halang. Tetapi polemik kita hari ini adalah penggunaan Kalimah Allah oleh orang bukan Islam dalam
ritual ibadah agama mereka seharian yang mana kalimah Allah bagi agama mereka mempunyai maksud yang jauh berbeza dengan akidah tauhid umat Islam di negara dimana Islam adalah agama negara dan agama bagi negeri-negeri.
Ianya tidak akan terhenti disitu, kerana kebenaran itu akan menghilangkan hak eksklusif umat Islam yang berada dalam sempadan kuasa Yang di-Pertuan Agong  dan DYMM Sultan dan tentunya akan membuka ruang bagi tuntutan dari pihak lain yang lebih hebat iaitu penyamarataan agama atau semua agama adalah sama.
Jika itu berlaku, apa maknanya lagi Islam menjadi agama bagi negara ini. Selain itu, jika ada lagi para asatizah kita yang membenarkan penggunaan kalimah Allah untuk digunakan bukan Islam dalam ritual agama Kristian, saya fikir mereka perlu juga merujuk kepada peguam-peguam yang mengendalikan kes ini dan meneliti kertas kausa prosiding supaya mereka tahu apakah implikasi perundangan sebenar yang menyumbang kepada penghakisan kedudukan agama Islam bila setiap kali permohonan sedemikian dibuat dan tidak hanya memberikan pandangan dari satu sudut disiplin ilmu.
11. Ada yang sinis mengatakan Kalimah Allah dibenarkan penggunaannya oleh orang bukan Islam di Indonesia tetapi dihalang di negara kita?
Negara kita dibina di atas rupa wajah dan acuan kita sendiri. Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri meletakkan Islam sebagai agama negara dan agama negeri. Ini berbeza dengan Indonesia. Namun ada juga perkara seperti nama dari bangsa asal kaum itu tidak dibenarkan di Indonesia, dibenarkan pula kita di Malaysia.
Ianya banyak bergantung kepada kerangka asas pembinaan negara kita yang meletakkan Islam pada kedudukan yang istimewa hinggakan Yang di Pertuan Agong dan Sultan apabila mengangkat sumpah jawatan pun bersumpah menggunakan kalimah Allah. Bagi saya, kalimah Allah jika dibebaskan penggunaannya akan menghilangkan hak eksklusif
umat Islam di Malaysia.
12. Bagi menjaga kepentingan umat Islam itu, apakah peranan Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri?
Berdasarkan kes kalimah Allah tahun 2009 dahulu, Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri dan entiti agama Islam lain boleh membuat permohonan di Mahkamah Rayuan bagi membuat pencelahan di peringkat rayuan kelak supaya pandangan dan hujahan mereka dapat didengar oleh Mahkamah sebagaimana titah baginda Sultan Johor dan Sultan Selangor.
Saya percaya ramai peguam Muslim yang telah membuktikan kewibawaan mereka dan berjuang pada kes Kalimah Allah pertama dahulu seperti Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar, Sdra Hanif Khatri dan Sdra Abdul Rahim Sinwan (dan ramai lagi) sedang dan akan merencanakannya bagi membantu rayuan oleh Jabatan Peguam Negara.
Dato’ Ikbal Salam
Peguambela & Peguamcara
Johor Bahru

1 Komen

  1. Yang aku keliru Mahkamah Persekutuan dah larang bukan Islam guna kalimah Allah, tetapi Mahkamah Tinggi mengizinkan bukan Islam guna kalmah Allah. Soalannya – Keputusan Mahkamah yang mana satukah adalah benar lagi sah bersandarkan Perlembagaan?

Comments are closed.