Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin (tengah) beramah mesra bersama penerima anugerah MOHD AZANNI AHMAD (kiri) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 di PICC, Putrajaya. Foto FIKRI YAZID, 30 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Meskipun kurang upaya fizikal namun Mohd Azanni Ahmad tidak pernah menganggap dirinya sendiri sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) ketika bekerja.

Sebaliknya, beliau menjalankan tugas sebagai akauntan di Seksyen Rundingan dan  Pemantauan dalam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan penuh dedikasi sehingga layak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 pada hari ini.

Beliau merupakan satu-satunya penerima APC KPKT dalam kategori OKU.

“Saya pun tidak anggap diri saya istimewa. Saya anggap diri saya seperti orang lain namun kekurangan saya yang saya perlu bantuan barulah saya minta tapi sebokah-bolehnya saya usaha sendiri, ” katanya ketika ditemui selepas majlis anugerah berkenaan di sini hari ini.

Tambah Mohd Azanni, kerjasama dan bantuan dari rakan  sekerja turut memudahkan beliau melaksanakan tugas hariannya.

“Rakan-rakan sekerja saya banyak membantu sepanjang saya berkhidmat di sini. Selama tiga tahun berkhidmat di sini ramai warga KPKT membantu saya daripada semua peringkat jawatan daripad yang berjawatan rendah,” tambahnya.

Azani yang berkhidmat dengan KPKT sejak April 2018 merupakan antara 157 penerima APC hari ini.

Daripada 157 penerima,  95 orang adalah warga KPKT manakala 62 adalah penerima daripada jabatan di bawah kementerian itu.

Selain itu, seramai 16 orang pesara dan bakal pesara turut diraikan dalam majlis yang sama selain menerima Sijil Jasamu Dikenang Tahun 2020/2021 iaitu penghargaan atas sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan selama ini.

Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Ketika menyampaikan ucapan, Zuraida dalam masa yang sama menyuarakan hasrat supaya Majlis APC Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan diadakan serentak dalam majlis yang sama di bawah KPKT bermula tahun depan.

“APC Bomba diminta buat sekali ketika ini kita ada 15,000 anggota dan ada ada majlis sendiri kita cadang laksanakan bersekali tahun depan,” ujarnya.-MalaysiaGazette