Sergio Aguero.

KUALA LUMPUR – Manchester City mengumumkan penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu, Sergio Aguero akan meninggalkan kelab selepas kontrak beliau tamat pada akhir musim ini.

Ketua Urusan Man City, Khaldoon Al Mubarak dalam satu kenyataan berkata, sumbangan Sergio kepada Manchester City selama 10 tahun berakhir dan tidak dapat diteruskan lagi.

“Namanya sebagai legenda akan terpahat dalam ingatan semua orang yang mencintai kelab dan mungkin juga pada mereka yang suka bola sepak,” katanya.

Khaldoon juga memberitahu Aguero akan diabadikan dengan pembinaan tugu di hadapan Stadium Etihad bersama sama dengan David Silva dan Vincent Kompany.

Aguero merupakan pemain yang menjaringkan gol saat akhir sensasi ke atas QPR ketika membantu kelab menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL)  pertama mereka selepas 44 tahun.

Ketika itu, pada persaingan hari terakhir, jika keputusan seri, Manchester United akan bergelar juara.

Namun Aguero berjaya merampasnya dengan gol ikonik ketika penyokong di Old Trafford sudah siap sedia meraikan kejayaan,

Sementara itu, selepas 10 musim bersama Citu, Aguero membantu kelab memenangi 4 EPL, lima Piala FA dan satu Piala Liga.

Dia  masih berpeluang menambah koleksi itu kerana City masih kekal bersaing dalam beberapa pertandingan termasuk UCL dengan EPL yang sudah pasti milik mereka musim ini.

Aguero dalam kenyataan rasmi meluahkan perasaan sangat bangga dan kepuasan dapat mewakili City selama 10 musim.

Aguero menjaringkan 257 gol dalam 384 penampilan untuk kelab dan menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman. – MalaysiaGazette