Seorang gelandangan menadah tangan berdoa selepas membaca kitab suci Al-Quran ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 NOVEMBER 2017
PADA 20 Mac yang lepas, ‘world happiness day’ atau Hari Kebahagiaan Sedunia telah disambut sebagai meraikan kegembiraan yang ingin dicapai dalam kehidupan. Kegembiraan dilihat sebagai satu keperluan bagi manusia untuk terus bertahan dalam kemelut tekanan dan desakan hidup yang pelbagai. Tambahan pula selepas setahun serangan pandemik COVID-19 yang melanda bukan sahaja meragut nyawa, malah membawa implikasi tekanan jiwa rentetan faktor kerja, keluarga, ekonomi dan sosial yang membelenggu semua masyarakat di dunia.
Malaysia tidak terkecuali apabila rakyat dilihat tidak lagi bahagia seperti dahulu berdasarkan kedudukan Malaysia yang telah jatuh 47 anak tangga daripada kedudukan ke-35 pada 2018 kepada kedudukan ke-82 dalam Indeks Kebahagiaan Dunia pada tahun 2020 selepas wabak Covid-19 ‘menjajah’ hampir setiap negara. Bahkan selain wabak penyakit, penurunan mendadak ini disertai petanda buruk apabila petunjuk kesihatan mental rakyat Malaysia berada paras tinggi dengan pola kenaikan sebanyak 2 kali ganda dalam tinjauan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Setiap masalah yang berlaku ini dilihat sebagai bentuk cabang
ujian yang dilalui oleh setiap manusia dalam fasa kehidupan. Ujian ini boleh berlaku secara dalaman melibatkan ujian hati, jiwa, sakit dan perhubungan serta ujian luaran seperti keadaan
ekonomi, material, pangkat serta darjat.
Konsep ujian adalah satu ketentuan yang telah ditetapkan sebagai qada dan qadar dalam hidup seseorang. Ujian datang dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Pertamanya, ujian sebagai musibah sering dimaknai sebagai proses Allah SWT mengampunkan dosa seseorang. Ia adalah pembersihan diri, penghapus dosa dan proses tarbiah dalam membimbing manusia kembali kepada landasan yang benar.
Kedua, ujian sebagai bala pula adalah balasan yang diberikan atas kejahatan yang dilakukan oleh seseorang sehingga Allah SWT menurunkan bala sebagai timbal-balas atas kemungkaran yang dilakukan. Misalnya dapat dilihat dalam kisah pengajaran kaum-kaum terdahulu seperti kaum ‘Aad dan Tsamud.
Ketiga, ujian sebagai mekanisme untuk meningkatkan darjat seseorang yang berlaku apabila seseorang yang beramal soleh dan bertakwa juga diuji sebagai satu petanda kasih sayang Allah
SWT berikan kepada hambaNya yang tabah dan bersabar dalam beribadah untuk diangkat darjatnya di sisi Allah SWT. Oleh yang demikian sebagai hamba Allah SWT yang ditugaskan sebagai khalifah di muka bumi ini, pastinya setiap kehidupan manusia tidak lekang dari diuji dan dihambat dengan pelbagai bentuk dugaan.
Selaras dengan kalam Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat 214, di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang berlaku kepada orang yang terdahulu daripada
kamu? Mereka ditimpa kepapaan dan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersertanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah SWT?”
Berdasarkan ayat di atas dapatlah kita fahami bahawa ujian yang datang dalam kehidupan manusia juga adalah asbab kepada pintu rahmat Allah SWT menuju syurga. Oleh itu, ujian ini
walaupun berbeza-beza bagi setiap manusia tetapi perlu dihadapi oleh semua tanpa terkecuali hatta para nabi juga menghadapinya.
Hakikatnya, untuk merasa bahagia semasa dilanda ujian bukan semudah yang dikata atau diungkap kerana emosi yang ‘remuk’ perlu menjalani terapi untuk pulih kembali dan melalui siri
masa untuk berubah kepada asalnya. Hal ini kerana, emosi yang terzahir dalam diri seseorang adalah bersebab rentetan dari setiap tindakan dan apa yang difikirkannya, sekali gus mencetuskan emosi yang positif mahupun negatif.
Justeru dalam mencari bahagia ketika ujian yang sedang
dihadapi, seseorang perlu mengubah cara berfikir dan bertindak. Berfikiran yang positif dapat membantu dengan penerapan elemen bersyukur atas ujian sebagai lambang kasih sayang Allah
SWT kepada hamba yang terpilih. Sehubungan itu, seseorang pasti akan merasa lebih tenang apabila ujian dilihat dalam konteks yang berbeza seterusnya mencetuskan emosi positif dalam diri.
Selain itu, tindakan seseorang dalam menghadapi ujian juga menjamin kepada rasa bahagianya. Sekiranya tindakan dilakukan dengan mencari ruang solusi kepada ujian melalui usaha, berdoa,
bermunajat dengan mendekatkan diri dengan Allah SWT, maka natijahnya adalah rasa bahagia mengatasi gundah-gulana.
Namun demikian, sekiranya tindakan yang dilakukan adalah dengan menghukum diri atau melakukan kemungkaran, ianya hanya bertahan ‘sementara’ dari siri ujian yang berlanjutan dan bakal mengundang masalah yang lain. Konklusinya, ujian adalah rencah hidup yang membawa pelbagai rasa dalam mencipta insan yang unggul mendepani cabaran zaman.
Ujian juga menjadi sebahagian proses tarbiah diri. Ini kerana, sekiranya seseorang mampu reset minda dan bertindak dengan bijak ketika diuji, pasti ia dapat menuai hasil bahagia
sebagai pulangan.
Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

1 Komen

  1. Pak lebai baca Qur’an di tepi jalan macam nampak riak jer untuk dilihat orang awam yang lalu-lalang di situ. Takkan tak boleh baca Qur’an di surau atau masjid, kot?

Comments are closed.