Manakala perjanjian telah ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Widad Business Group Datuk Dr Rizal dan Pengarah Urusan Kumpulan Bin Zayed International Group, Sheikh Midhat Kidwai, yang menyaksikan kedua-dua pihak secara bersama membina dan membangunkan Widad@Langkasuka.

KUALA LUMPUR – Widad Business Group Sdn Bhd (WBG), konglomerat pembinaan, hartanah dan pengurusan fasiliti bersepadu, menandatangani Perjanjian Kerjasama dengan Bin Zayed International LLC (BZI) bagi membangun secara bersama projek pembangunan bercampur bernilai RM40 bilion yang dikenali sebagai Widad@Langkasuka di Langkawi.

Kedua-dua pihak akan bekerjasama bagi menyelaras dengan kerajaan negeri, perunding serta kontraktor berkaitan pembangunan infrastruktur, pembinaan dan kerja-kerja lain berkaitan projek tersebut.

BZI adalah sebahagian daripada Bin Zayed Group of Companies, yang berpangkalan di Abu Dhabi, merupakan konglomerat khusus terbabit di dalam pembinaan dan tenaga, perniagaan dan industri, hartanah, teknologi dan perkhidmatan kewangan.

Majlis menandatangani kerjasama tersebut disaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Eksekutif serta Pengasas Widad Business Group, Tan Sri Muhammad Ikmal.

Ditubuhkan pada 1988 oleh Sheikh Khaled Bin Zayed Al Nahyan, yang merupakan ahli keluarga tertua keluarga Diraja Abu Dhabi, beliau turut dikenali sebagai ahli perniagaan terkemuka  di negara Teluk.

Sementara itu Muhammad berkata, pembangunan Widad@Langkasuka akan mengubah lanskap Langkawi dan juga Negeri Kedah amnya.

Menurutnya, untuk projek yang mempunyai ukuran dan kepentingan sedemikian adalah penting untuk WBG bekerjasama dengan rakan kongsi yang memiliki kepakaran teknikal yang diperlukan dan berkongsi matlamat yang sama.

”Kami berharap dapat bergabung kekuatan bagi memastikan projek ini berjaya disiapkan,” katanya.

Nilai pembangunan kasar Widad@Langkasuka sebanyak RM40 bilion itu dijangka siap dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Widad@Langkasuka merupakan sebuah projek pembangunan moden dengan diterapkan konsep Islamik dan vernakular tropikal yang dijangka mengubah lanskap Pulau Langkawi dan menjadi satu tarikan utama di pulau legenda itu.

Ketika ini, hampir 90 peratus daripada 1,979 ekar merupakan kawasan laut.

Bagaimanapun WBG berhasrat untuk membangunkan sebuah pulau buatan manusia yang akhirnya akan menjangkau kira-kira 1,000 ekar atau 50 peratus dari keseluruhan kawasan tersebut.

Setelah siap, Widad@Langkasuka akan mengandungi komponen-komponen pelancongan seperti hotel dan resort-resort bertaraf lima dan enam bintang, padang golf antarabangsa bersebelahan Marina Yacht Club, kompleks pejabat dan perniagaan antarabangsa, pusat membeli belah, institusi-institusi pengajian tinggi, kemudahan penjagaan kesihatan, dan kediaman-kediaman mewah.

WBG juga merancang untuk menganjurkan acara tahunan seperti “Redbull Air Race”, “Power Boat Race”, “Jet Ski Race”, festival bunga api antarabangsa dan beberapa acara kebudayaan dan kesenian bagi mempromosikan pelancongan di Langkawi. – MalaysiaGazette