KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pembungkusan dan pengedaran makanan ringan di Nilai diserbu selepas disyaki memasukkan barang hadiah percuma berupa mainan dalam bungkusan/kotak makanan ringan dengan meletakkan logo halal dan Malaysian Comformity (MC) yang disyaki tidak mendapat kelulusan pada kotak produk.

Pemeriksaan menyeluruh bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) danĀ  Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mendapati, syarikat tersebut juga tidak mempunyai pensijilan halal yang sah dari Jakim.

Malah, ia juga tidak mempunyai sijil pengesahan (C.O.C) bagi barang mainan sebagai indikasi mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan pada kotak barang berkenaan.

Hasil serbuan itu, sebanyak 1,700 unit barang mainan yang tidak mempunyai tanda pematuhan M.C bernilai RM41,074.00 dan empat unit mesin kegunaan pembungkusan bernilai RM21,000.00 disita.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 2011 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Dalam operasi kedua pula, KPDNHEP menyerbu sebuah syarikat pengilang yang menjalankan perniagaan memproses produk makanan seperti kacang dan maruku kerana sijil halal tamat tempoh.

Jakim bertindak mengeluarkan empat notis kepada syarikat berkenaan terhadap ketidakakuran kepada premis Pengilangan Kontrak Pengeluaran Produk Tulen (OEM) dan kawalan halal dalaman.

Pihak BKKM juga telah mengambil dua kes di bawah Akta Makanan 1983 berhubung penggunaan perkataan “Bahan Berperisa” yang tidak dilabelkan pada pembungkusan produk.- MalaysiaGazette