Bung Moktar Radin mandatory Covid-19 vaccine
Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Semua ahli politik patut mencontohi sikap Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang berjiwa besar dan matang apabila bertindak mengasingkan negeri di bawah bayu itu daripada terjebak dalam krisis politik bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, Bung dengan jelas menyatakan  kesatuan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mesti diutamakan.

Katanya, walaupun dalam keadaan sukar  membuat keputusan mengenai hubungan UMNO dengan Bersatu terutama selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020, namun Bung tetap mengutamakan rakyat.

“Kejujuran dan keberanian sebegini seharusnya dipuji dan dicontohi. Inilah contoh ahli politik yang berjiwa besar. Rakyat tetap diutamakan walaupun berhadapan dengan keadaan sukar khususnya berkaitan parti sendiri.

“Saya menyifatkan Bung sebagai ahli politik yang matang. Beliau berpolitik menggunakan pemikiran jauh dan meletakkan negeri dan rakyat sebagai tunjang perjuangan,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam menyatakan pendiriannya baru-baru ini, Bung Moktar menegaskan UMNO Sabah tidak akan terikut-ikut dengan rentak pergolakan politik di Semenanjung.

Sebaliknya, beliau mengutamakan kepentingan rakyat yang dahagakan pembangunan serta akan meneruskan kerjasama dengan GRS demi kebaikan rakyat negeri itu.

Dalam kenyataan itu, Aliakbar turut berkata, Pas Sabah akan terus bekerjasama dengan GRS. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.