Kementerian DAlam Negeri (KDN) mengarahkan semua jabatan dan agensi penguatkuasaan di bawahnya untuk meningkatkan bilangan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diwartakan.- gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hanya sembilan orang yang ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jumlah itu dilihat semakin berkurangan berbanding semalam sebanyak 17 individu yang didapati melanggar SOP.

Menurutnya, antara kesalahan berikut adalah aktiviti pusat hiburan sebanyak tujuh kes manakala tiada penjarakan fizikal sebanyak dua kes.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam telah membuat pemantauan di 5,718 buah restoran, pasar raya (4,471), bank (2,809), penjaja (3,914), pasar awam/tani (96), kilang (2,255) dan pejabat kerajaan (867).

Turut dipantau ialah tempat ibadah (166), tempat riadah (16,744), terminal pengangkutan darat (3,204), terminal pengangkutan air (1,651) dan terminal pengangkutan udara (558).

Sementara itu, Ismail Sabri mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Ranggu Batu 10, Mukim Balung, Fasa 2 Taman Semarak dan Kampung Baru Pasir Putih, Mukim Sri Tanjung, Tawau, Sabah bermula 1 hingga 14 April 2021.

Keputusan itu ekoran peningkatan kes mendadak di kawasan-kawasan berikut.

“KKM telah mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di ketiga-tiga lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan lanjutan PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka sehingga 16 April 2021.

Manakala Pelanjutan PKPD di Kilang YTY dan Asrama Pekerja, Lekir, Sitiawan, Perak dilanjut sehingga 15 April 2021.-MalaysiaGazette