Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melawat Pusat Pemberian Vaksin di Kompleks Masyarakat Penyayang di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan sedang mengkaji untuk memberikan kemudahan tertentu kepada individu yang sudah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah itu merupakan salah satu usaha meningkatkan pendaftaran vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) susulan pendaftaran penerimaan vaksin baru mencapai 30 peratus setakat ini.

Khairy ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin di Kompleks Masyarakat Penyayang di Pulau Pinang hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bentuk kemudahan tersebut akan dibincangkan lebih lanjut dengan Kementerian Kesihatan serta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 berdasarkan kajian data klinikal.

“Ketika ini pendaftaran penerimaan vaksin mencatatkan angka 7.5 juta iaitu kira-kira 30 peratus daripada sasaran menerusi aplikasi MySejahtera serta saluran lain.

“Kita percaya masih ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat, jika tidak ada masalah dalam kalangan yang sudah menerima vaksin, baru mereka akan tampil.

“Selain itu, kita juga yakin apabila fasa kedua bermula 19 April ini akan lebih ramai yang mendaftar sebagai penerima vaksin,” katanya.

Khairy ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin di Kompleks Masyarakat Penyayang di Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Daerah Timur Laut di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 10 PPV bukan kesihatan iaitu di luar hospital dan klinik disediakan di Pulau Pinang.

“10 PPV itu melibatkan lima daerah dalam negeri ini yang mampu menyuntik 9,600 orang awam dalam tempoh sehari.

“Selain itu, kemudahan yang sama sedang disediakan di seluruh negara dalam usaha menjayakan PICK pada hujung tahun ini seperti disarankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya puas hati dengan persediaan PPV bagi fasa kedua tapi Jun dan Julai (fasa ketiga) merupakan kemuncak kerana penghantaran vaksin akan mencecah jutaan jadi kita jika ada keperluan lebih banyak PPV akan dibuka,” katanya. – MalaysiaGazette