Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus dibantu kerajaan untuk memastikan kelangsungan perniagaan dalam menguruskan aliran tunai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan pindaan Perjanjian Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM) yang merupakan pengaturan pembiayaan serantau antara Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat negara-negara anggota ASEAN, China, Jepun dan Korea (ASEAN+3) dan Monetary Authority of Hong Kong, China berkuatkuasa semalam.

Ciri-ciri utama pindaan Perjanjian CMIM adalah seperti yang berikut:

Bagi meningkatkan International Monetary Fund (IMF) De-Linked Portion daripada 30% kepada 40% daripada jumlah pengaturan maksimum setiap ahli.

IMF De-Linked Portion ialah jumlah yang mungkin boleh diminta oleh setiap ahli daripada CMIM apabila tidak ada program sokongan IMF yang sepadan. Peningkatan IMF De-Linked Portion kepada 40% daripada jumlah pengaturan maksimum setiap anggota menjadikan CMIM lebih tersedia untuk digunakan oleh negara-negara yang memerlukan.

Bagi memasukkan (institutionalise) penggunaan mata wang tempatan negara anggota selain daripada dolar AS, untuk pembiayaan CMIM secara sukarela dan berdasarkan permintaan.

Pindaan itu menjadikan mata wang tempatan negara-negara anggota tersedia untuk pemberian sokongan mudah tunai di bawah sebarang pengaturan CMIM dalam jumlah kapasiti pembiayaan CMIM sebanyak USD240 bilion. Pembiayaan mata wang tempatan di bawah CMIM akan dibuat secara sukarela dan berdasarkan permintaan; dan

Bagi mengatasi masalah teknikal lain, termasuk semakan yang berkaitan dengan pembaharuan London Inter-bank Offered Rate (LIBOR).

Bank Pusat itu berkata, perjanjian CMIM ini juga membuat penyesuaian teknikal yang lain, seperti sumber maklumat untuk penentuan kadar pertukaran asing, dan format mesyuarat untuk badan pembuat keputusan CMIM bagi menyertakan fleksibiliti dalam penganjuran mesyuarat secara maya.

Pindaan ini berfungsi untuk terus menambah baik CMIM, yang berada di tengah-tengah jaringan keselamatan kewangan serantau ASEAN+3, menjadikannya lebih berkesan dan sedia beroperasi untuk negara-negara anggota. – MalaysiaGazette