Pihak penguat kuasa sedang memerikasa keadaan alatan timbangan sawit dalam Ops Timbang Sawit.

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam kes dikesan yang melibatkan rampasan berjumlah RM36,850 dalam Ops Timbang Sawit yang berakhir pada minggu lepas bagi memastikan alatan timbangan yang digunakan adalah tepat.

Selain daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna KPDNHEP, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut mengambil tindakan dengan membawa 12 kes di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh jabatan berkenaan.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, tujuan operasi dijalankan adalah untuk menangani isu penipuan timbang buah kelapa sawit yang digunakan dalam industri berkenaan.

Pihak penguat kuasa sedang memastikan alatan timbangan yang digunakan oleh penjual adalah tepat dalam penjualan sawit

“Manakala, bagi fokus tindakan Ops Timbang Sawit ini pula adalah untuk memastikan alatan timbangan yang digunakan adalah tepat dengan membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap perkakasan, perisian atau mana-mana komponen sistem yang digunakan oleh peniaga-peniaga di pusat pengumpulan dan pembelian buah sawit supaya berada dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan juga dijalankan untuk memastikan alat timbang tersebut telah diuji dan ditentusahkan.

Selain itu, ujarnya, peniaga juga dikehendaki mempamerkan tanda harga dengan jelas.

Menurut Azman, jika didapati bersalah, peniaga akan tertakluk di bawah peruntukan Akta Akta Timbang Sukat 1972 (ATS 1972) dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Pemeriksaan juga dijalankan untuk memastikan alat timbang tersebut telah diuji dan ditentusahkan

Mengulas lanjut, Azman berkata, ia secara langsung memberi kesan positif kepada penjual buah sawit khususnya pekebun kecil kerana elemen penipuan atau manipulasi alat timbang sawit dapat dielakkan apabila alat timbangan yang tepat atau betul sahaja digunakan dalam urus niaga tersebut.

“Kami berharap semua pihak yang terlibat dalam industri buah sawit menjalankan aktiviti perniagaan secara jujur, beretika dan tidak mengambil kesempatan dengan perlakuan manipulasi harga mahupun timbangan.

“Bagi memastikan pematuhan perundangan yang menyeluruh dalam industri, Ops Timbang Sawit ini akan diteruskan demi kepentingan semua pihak,” ujarnya. – MalaysiaGazette