Seorang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Azlan Shah semalam.

BAYAN BARU – Seorang lelaki maut dalam satu kemalangan membabitkan empat buah kenderaan termasuk sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 2.50 petang itu, mangsa berusia 42 tahun  meninggal dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah pada kepala.

Kereta yang dipandu mangsa remuk akibat kemalangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA. Anbalagan berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kereta jenis Perodua Myvi, Toyota Vios, Suzuki Swift dan sebuah motosikal.

“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Swift yang dipandu mangsa telah merempuh bahagian belakang kereta Myvi, Vios serta motosikal jenis Honda RS150 yang ketika itu sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat tersebut.

Anggota polis trafik sedang membersihkan sisa kemalangan sebelum jalan berkenaan dibuka untuk orang awam.

“Akibat daripada pelanggaran itu pemandu kereta Swift mengalami kecederaan parah manakala tiga lagi mangsa masing-masing pemandu dan penunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan ringan.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke hospital pada jam 4.10 petang mangsa yang cedera parah itu dilaporkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Anbalagan, bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan sebaik sahaja menerima keputusan saringan Covid-19.

Anggota bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Mustakin Mohd Salleh ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, pihaknya mengambil masa 25 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit pada bahagian pemandu kereta Swift tersebut. – MalaysiaGazette