Gambar hiasan.

GUA MUSANG – Polis merampas dua laras senapang patah bersama 46 butir peluru  hidup selepas menahan sebuah kereta dinaiki lima lelaki di Jalan Aring Empat, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kenderaan dinaiki lima lelaki tempatan berusia 25 hingga 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada pukul 2.30 pagi.

“Sebaik pemeriksaan dilakukan polis menemui dua laras senapang patah bersama 46 peluru hidup pelbagai jenis yang diletakkan secara berasingan dalam kenderaan tersebut, lima lelaki berkenaan juga gagal menunjukan lesen pemilikan senjata terbabit.

Mereka yang bekerja di sebuah ladang sawit berhampiran mengakui senapang patah itu digunakan untuk memburu binatang dalam kawasan ladang terbiar di situ. Turut ditemui di dalam kenderaan itu dua kerambit, 29 biji pil kuda dan sebotol air ketum,” katanya pada sidang media, di IPD Gua Musang, di sini hari ini.

Shafien berkata, seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Mereka ditahan reman sehingga 7 April untuk membantu siasatan, polis kini mengesan seorang lagi lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan senjata api terbabit

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Penalti Lebih Berat (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960,” katanya. – Bernama