Gambar Bernama

ISKANDAR PUTERI – Kementerian Belia dan Sukan berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Protokol Pengurusan Penonton di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam tadi.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, program perintis yang diadakan di dua stadium akan dijadikan proof of concept setelah kerajaan melulusan permohonan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membenarkan kehadiran penonton di stadium.

“Boleh saya katakan segalanya bermula di Johor.

“Kalaulah kita nak saksikan semarak kerancakan bola sepak yang bakal kita saksikan pada minggu-minggu mendatang ianya bermula dengan kejayaan kita melakukan segala-galanya bermula di sini,”katanya

“Kapasiti hari ini ada 260 orang yang terlibat, kita nak lihat juga pasukan-pasukan itu sendiri dari segi keupayaan mematuhi SOP,”katanya

Tambah beliau, reka bentuk Stadium Sultan Ibrahim yang mempunyai empat zon, memudahkan pengurusan penempatan penyokong mengikut SOP.

Pujian turut diberikan kepada penyokong yang menunjukkan disiplin tinggi, tidak berganjak daripada tempat duduk mereka, selain mematuhi SOP KKM sepanjang perlawanan.

KBS menjangka perlawanan Liga Super seterusnya, antara Kuala Lumpur menentang Sabah, di Stadium Cheras, Kuala Lumpur, mampu menempatkan kira-kira 1,400 penyokong mengikut SOP ditetapkan.

Reezal turut turun padang bersama wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menilai keberkesanan Protokol Pengurusan Penonton.

Seramai 260 anggota keselamatan termasuk marshal stadium, polis dan sukarelawan dari KBS ditugaskan memantau pematuhan SOP penonton di Stadium Sultan Ibrahim pada perlawanan JDT bertemu Melaka United FC malam tadi.

Seramai 4,000 individu telah berdaftar bersama Kementerian Belia dan Sukan diseluruh negara sebagai sports bubble volunteer bagi membantu KBS terutama dalam memantau pematuhan SOP.

Terdahulu, Mesyuarat Teknikal MKN bersetuju menetapkan kehadiran penonton ke stadium di kawasan PKP Bersyarat sebanyak 10 peratus kapasiti stadium atau 2,000 penonton, mana yang lebih rendah, dan bagi kawasan PKP Pemulihan sebanyak 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 penonton atau mana yang lebih rendah. – MalaysiaGazette