Sebanyak 13 kluster baharu dikenal pasti hari ini melibatkan tujuh negeri termasuk Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Pahang dan Kedah dengan 243 kes baharu Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 10 lagi kluster baharu Covid-19 hari ini.

Ia dikesan di Selangor, Johor, Putrajaya, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau memberitahu, lima daripada kluster itu membabitkan tempat kerja, empat komuniti manakala satu lagi di pusat tahanan.

“Kluster Jalan Maju Cemerlang di Johor Bahru dikesan hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang dan setakat hari ini seramai 11 individu disahkan positif Covid-19.

“Tiga kluster membabitkan pusat pendidikan antaranya Kluster Jalan Murni Satu di Johor yang dikesan hasil saringan individu bergejala pada 31 Mac lalu. Kluster ini membabitkan pusat pendidikan yang mana setakat ini seramai 15 disahkan positif.

“Kluster Jalan Suasana pula dikesan daripada kes indeks (kes ke-328,809) pada 19 Mac lalu. Nama kluster merujuk kepada pusat pendidikan di mana penularan berlaku di Jalan Suasana, Tun Hussein Onn, Cheras. Sebanyak 19 kes positif sudah dilaporkan.

“Kluster Danan yang dikesan di pusat pendidikan di Kampung Danan dan Kampung Alor Hijau, Selising, Pasir Puteh sudah membabitkan 17 kes. Kes indeks (kes ke-336,746) dilaporkan positif Covid-19 pada 24 Mac lalu hasil saringan individu bergejala,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagi Kluster Jalan Alamanda membabitkan daerah Putrajaya dan Sepang, Selangor, Dr Noor Hisham berkata, ia membabitkan tiga pusat perniagaan dan setakat ini, seramai 12 individu dikesan positif Covid-19.

Mengenai Kluster Rich Park membabitkan daerah Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah, katanya, ia membabitkan majlis sosial yang berlangsung di Taman Rich Park pada 26 dan 27 Mac lalu dengan 17 individu sudah disahkan positif daripada 55 individu disaring.

“Kluster komuniti lain iaitu Kluster Sungai Mupong di Sibu dan Meradong, Sarawak sudah merekodkan 17 kes, Kluster Sungai Rassau di Matu dan Sibu, Sarawak (11 kes) serta Kluster Kampung Batu Lapan Lekir di Manjung, Perak (14 kes),” ujarnya.

Tambah beliau, sebuah kluster pusat tahanan iaitu Kluster Tembok Sri Aman di Sarawak dikesan positif Covid-19 hasil saringan bersasar tahanan di Penjara Pusat Sri Aman yang mana 160 disahkan positif dalam kluster ini. – MalaysiaGazette